Israel enggan tunduk kepada desakan Palestin agar menghentikan pemasangan alat pengesan logam di sekeliling masjid Al Aqsa yang mencetuskan pertempuran berdarah beberapa hari lalu.

Perdana Menteri rejim itu, Benjamin Netanyahu mengadakan sidang tergempar dengan barisan Kabinetnya pada petang Ahad dan hanya bersetuju mengurangkan penggunaan alat tersebut.

“Peralatan pengesan logam akan kekal.

“Jika rakyat Palestin tidak mahu masuk, jangan biarkan mereka memasuki kawasan masjid,” kata Menteri Pembangunan Wilayah Israel, Tzachi Hanegbi.

Bagaimanapun keputusan itu tidak dipersetujui Palestin yang mahu masjid suci terbabit bebas daripada sebarang pemantauan Israel.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, beliau akan menghentikan kerjasama keselamatan dengan Israel sehingga kesemua peralatan terbabit yang dipasang di pintu masuk Masjid Al Aqsa ditarik semula.

Keputusan kontroversi Israel itu mencetuskan pertumpahan darah di perkarangan Masjid Al Aqsa apabila tiga pendatang haram Yahudi dan empat penduduk Palestin disahkan terbunuh dalam dua kejadian keganasan pada Jumaat dan Sabtu.

Insiden itu membangkitkan kebimbangan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengadakan sidang tergempar pada Isnin untuk mencari jalan penyelesaian meredakan ketegangan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *