Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ISOM Penentu Hala Tuju Penganjuran APEC 2020

ISOM Penentu Hala Tuju Penganjuran APEC 2020

LANGKAWI, Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai Kanan (ISOM), APEC 2020 yang bermula 9 Disember dan berakhir semalam, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini, menjadi pencetus utama untuk delegasi mencambah idea dan berkongsi pandangan masing-masing bagi penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November tahun depan.

Selain itu, ISOM turut dilihat sebagai bakal menentukan hala tuju bagi penganjuran APEC 2020 yang dijangka akan disertai lebih 21 anggota ekonominya dan 16,000 delegasi antarabangsa bagi menghadiri sebanyak 120 mesyuarat di lima bandar utama di seluruh negara.

APEC 2020 adalah penting kerana buat kali kedua sejak 1998, Malaysia dipilih menjadi tuan rumah dan persidangan itu juga adalah titik penghujung kepada Matlamat Bogor (Bogor’s Goals) pada 1994 dalam merencanakan agenda ekonomi APEC buat masa hadapan.

ISOM yang berlangsung tiga hari itu, bermula dengan Simposium Bidang Keutamaan APEC 2020 dan diikuti dengan beberapa siri mesyuarat. Seramai 312 delegasi dari APEC ekonomi, menteri persekutuan dan wakil agensi menyertai simposium berkenaan.

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, ketika memberi ucaptama pembukaan simposium berkata, selepas 30 tahun Deklarasi Bogor, nilai dagangan serantau meningkat daripada USD23.5 trilion (RM97.78 trilion) pada 1990 kepada USD66.2 trilion (RM275.46 trilion) pada 2018, iaitu kenaikan purata 3.7 peratus setahun.

Jelasnya, walaupun pertambahan nilai dagangan membawa kepada peningkatan pendapatan, taraf kehidupan dan perhubungan dalam kalangan penduduk, ia turut memberi kesan kepada jurang pendapatan dan ekuiti sosial.

“APEC kini mempunyai kekayaan yang diperoleh hasil dagangan dan pelaburan serantau yang turut menyebabkan sebilangan besar masyarakat di negara anggota menjadi ketinggalan.

“Disebabkan itu, kita perlu menukar asas ekonomi bagi menyesuaikannya dalam keadaan semasa, dengan rakyat sebagai teras, dapat bersama meningkatkan taraf kehidupan tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

“Inilah objektif falsafah kemakmuran bersama yang diperkenal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Sidang Kemuncak CEO APEC pada 2018 bagi memastikan pembangunan ekonomi yang adil dalam kalangan negara anggota,” katanya.

Beliau turut menyarankan, negara anggota APEC menyeimbangkan aktiviti dagangan dan pelaburan kepada yang dapat meningkatkan aspek sosial serta ekonomi secara inklusif dalam mencapai kemakmuran bersama.

“Setiap ekonomi sentiasa berusaha mengambil berat antara satu sama lain bagi memastikan polisi yang dibuat dapat memberi keselesaan kepada rakyat dan bidang perniagaan dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Kemampuan melaksanakan aspek ekonomi ini akan menjadi fokus perbincangan pada Persidangan APEC 2020 dan Malaysia akan berusaha mengoptimumkan pengurusan sumbernya bagi mengurangkan kesannya kepada persekitaran yang sentiasa berubah,” katanya.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, Tan Sri Rebecca Fatima Sta Maria dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) 2020, Datuk Rohana Mahmood.

Menyentuh isu perubahan cuaca dan alam sekitar pula, Hairi berkata, timbul kesedaran dalam kalangan negara anggota kini bahawa masalah itu perlu diurus secara mampan.

“APEC selama ini tidak membincangkan masalah ini secara terbuka kerana menganggap ia bukan isu ekonomi, tetapi kita harus sedar terdapat kos secara tidak langsung dalam menguruskan alam sekitar yang memberi kesan kepada nilai ekonomi,” katanya.

Pada hari penutup ISOM, Hairil Yahri turut menegaskan, penganjuran APEC 2020 berpotensi memacu perkembangan ekonomi negara anggota, sekali gus meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat.

Kataya, antara elemen utama yang ditekankan termasuklah pertumbuhan dan keseimbangan ekonomi selain jaminan perdagangan dan pelaburan inklusif yang dapat dimanfaatkan bersama.

Beliau berkata, berteraskan tema ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran’, pihaknya optimis Malaysia sebagai tuan rumah dapat merealisasikan kejayaan APEC 2020.

“Kita menerima maklum balas positif kerana persidangan ini tidak hanya tertumpu kepada perbincangan dasar liberalisasi dan perdagangan semata-mata, sebaliknya kelestarian ekonomi serantau turut menjadi fokus utama.

“Antara agenda lain yang disuntik dalam perbincangan termasuklah kebajikan golongan B40, pemerkasaan wanita, ekonomi digital selain pembangunan kesejahteraan yang dapat memberi impak kepada masyarakat.

Sementara itu, Rebecca Fatima berkata, APEC 2020 berperanan sebagai platform perkongsian idea yang bakal diterjemahkan bagi meningkatkan kesejahteraan setiap individu.

Katanya, prinsip kemakmuran bersama bukan sahaja relevan, malah menjadi hala tuju baharu dalam pertumbuhan ekonomi tanpa meminggirkan sesiapa pun daripada arus pembangunan.

“Sebagai contoh, Anugerah Kemakmuran Digital APEC 2019 yang berlangsung semalam membuktikan bagaimana inisiatif yang dilaksanakan ini dapat memberi impak kepada masyarakat luar bandar khususnya.

“Fokus yang diberikan terhadap masyarakat berpendapatan rendah dapat meningkatkan lagi peluang pekerjaan, malah berpotensi untuk membantu mereka keluar daripada garisan kemiskinan,” katanya.

Leave a Reply

Top