MH Online

Laman Suara Rakyat

Isa Masih Sayangkan UMNO

Isa Masih Sayangkan UMNO

PORT DICKSON, Meskipun beliau umum meninggalkan Umno kerana ingin bertanding dalam PRK Port Dickson, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilihat masih ‘menyayangi’ Umno, parti yang mengangkat perjuangannya sedari dulu.

Meskipun tidak dilafazkan secara jelas namun beliau seolah-olah memberi bayangan tentang perasaannya kepada pemberita semasa temubual bersama sebuah akhbar tempatan petang semalam.

“Nak kata sayang ke tidak pun tak tahulah. Orang kata apa, sayang isteri tinggal-tinggalkan,” katanya disusuli ketawa.

Jika diperhalusi sebaiknya bait-bait kata dilafazkan beliau, maka boleh disimpulkan bekas Naib Presiden Umno ini masih menyayangi parti tersebut.

Mana mungkin perasaan cintakan Umno boleh hilang begitu sahaja sementelah sudah lebih 40 tahun beliau melibatkan diri dalam politik dan selama 40 tahun itu beliau setia bersama Umno.

“Jadi biarlah, dia (Umno) pun dah ada pimpinan baru jadi kita tengok sajalah, biarlah ia berjalan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau mengakui masih belum nampak hala tuju Umno namun berpendapat semua ahli perlu memberikan peluang kepada pimpinan baru menguruskan Umno sebaiknya.

Jelasnya, biarlah mereka (pemimpin Umno) menjalankan urusan pentadbiran dalam setahun atau dua tahun dan selepas itu barulah prestasi mereka diadili.

“Terlalu awal, berilah mereka uruskan Umno. Kita tengoklah macam mana. Tak adil bagi kita untuk mengadili pimpinan Umno masa kini dengan baru beberapa hari dari pemilihan.

“Tak betullah kalau begitu, biar dia jalan dulu dalam setahun dua, barulah kita tengok,” ujarnya.

Mohd Isa mengumumkan keluar daripada Umno baru-baru ini selepas beliau menawarkan diri untuk bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson sebagai calon Bebas.

Keputusannya itu mengejutkan ramai pihak malah ada yang mendesak supaya Umno memecatnya namun bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini pantas mengambil langkah awal, mengumumkan keluar daripada Umno.