Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Iraq Guna Sistem Pengundian Electronik

Iraq Guna Sistem Pengundian Electronik

Sistem elektronik baharu akan memberi laporan keputusan pilihan raya akan datang Iraq dalam tempoh beberapa jam selepas undian ditutup, kata Ketua Pegawai Pilihan Raya negara itu, Riyadh al-Badran, berbanding beberapa minggu sebelum ini.

Rakyat Iraq bakal mengundi 12 Mei ini dan akan menggunakan sistem pengundian elektronik buat kali pertama.

“Keputusan akan diumumkan dalam tempoh beberapa jam bukan hari. Kami akan memperoleh undian tepat yang menggambarkan hasrat pengundi,” katanya dalam temuramah di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.

Badran menambah, sistem baharu itu akan secara ketara mengehadkan kemungkinan penipuan undi.

Pilihan raya akan datang itu adalah yang keempat diadakan sejak kejatuhan Saddam Hussein susulan pencerobohan diketuai Amerika Syarikat (AS) di Iraq pada 2003.

Lebih 24 juta daripada 37 juta rakyat Iraq layak mengundi bulan depan.

Pihak berkuasa Iraq berharap mengelak ketegangan politik disebabkan kelewatan memberi keputusan dalam pilihan raya sebelum ini.

Mengikut sistem baharu yang menggantikan dakwat cap jari menunjukkan seseorang sudah mengundi, menjadi simbol demokrasi pasca Saddam, pengundi Iraq kini perlu memasukkan kad pengenalan pada mesin yang menghubungkan mereka kepada undi individu menggunakan mesin pembaca kod.

Selepas pengundi menanda kertas undi, mereka meletakkannya dalam pengimbas yang akan mengira dan merekod keputusan.

Suruhanjaya itu kini mendidik pengundi dan melatih pekerja pilihan raya untuk membiasakan diri, kata Badran yang turut memberi demonstrasi proses itu kepada koresponden Reuters.

Baghdad memberi sebuah syarikat Korea Selatan, Miru Systems, kontrak bernilai AS$135 juta (RM526.10 juta) untuk sistem itu yang termasuk kira-kira 70,000 peranti digunakan di seluruh negara, katanya.

Kumpulan bantuan menyuarakan kebimbangan, sistem yang bergantung kepada kad pengenalan itu menjadikannya sukar buat penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang untuk mengundi.

Daesh yang merampas hampir satu pertiga wilayah Iraq pada 2014, sebahagian besarnya dikalahkan tahun lalu. Namun lebih 2.3 juta rakyatnya, kebanyakannya berketurunan Arab Sunnah, minoriti di Iraq masih kehilangan tempat tinggal.

Ramai kehilangan atau meninggalkan dokumen pengenalan ketika lari menyelamatkan diri. -Reuters

Leave a Reply

Top