MH Online

Laman Suara Rakyat

IPTS Tipu Dokumen Pinjaman PTPTN

IPTS Tipu Dokumen Pinjaman PTPTN

KUALA LUMPUR, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesan ada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang menipu dokumen pinjaman pelajarnya dengan memendekkan tempoh pengajian.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata kes penipuan dokumen itu adalah antara lima kes yang membabitkan IPTS yang direkodkan antara tahun 2016 hingga 2018.

Katanya, dalam kes berkenaan, IPTS terbabit didapati melakukan penipuan dokumen dengan memendekkan tempoh pengajian daripada enam semester kepada lima semester sahaja.

“IPTS terbabit membuat tuntutan daripada PTPTN untuk pengajian bagi tempoh enam semester namun tempoh pengajian yang sebenar hanya lima semester.

“Dalam kes ini, kementerian menggantung bayaran kepada pelajar baharu dan IPTS itu diminta membayar semula semua bayaran PTPTN yang dilepaskan kepada IPTS berkenaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH AMANAH-Tampin) sama ada terdapat kajian menyeluruh kementerian terhadap kolej swasta yang melanggar peraturan.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, semua IPTS yang beroperasi di negara ini tertakluk di bawah Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555) termasuk kawalan daripada berlakunya penyelewengan atau penyalahgunaan wang.

“Setiap aduan mengenai penyelewengan IPTS terhadap PTPTN akan disiasat dan diambil tindakan secara bersama antara Jabatan Pendidikan Tinggi dan PTPTN. Sekiranya berlaku penyelewengan, Akta 555 akan diguna pakai termasuk menangguhkan kemudahan pinjaman PTPTN.

“Namun, usaha awal oleh kementerian ialah dengan melaksanakan pemantauan bagi memastikan kebajikan pelajar terpelihara termasuk aktiviti pendaftaran pelajar,” katanya.

Katanya, jika terdapat IPTS yang melanggar syarat kelulusan kursus pengajian seperti mengenakan yuran melebihi kadar diluluskan, tindakan mengikut Seksyen 40(2) Akta 555 termasuk membatalkan kelulusan pengajian berkenaan boleh diambil.