Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Integriti Tetap Jadi Elemen SOP Imigresen

Integriti Tetap Jadi Elemen SOP Imigresen

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baharu, Datuk Seri Mustafar Ali berkata beliau komited untuk memastikan integriti menjadi elemen yang diutamakan dalam jabatan tersebut.

Tegasnya, semua pegawai dan kakitangan jabatan iru adalah aset yang perlu memiliki kualiti tinggi dalam menghasilkan perkhidmatan cemerlang dan memastikan keperluan pelanggan dipenuhi.

“Walaupun pasti ada segelintir (yang tidak berintegriti), tapi itu yang kita akan tangani sebagai satu elemen yang akan diutamakan.

“Mereka ini adalah aset, dan kita mahu angkat martabat aset ini ke arah lebih tinggi supaya kesinambungan pelaksanaan kerja dapat ditambah baik,” katanya selepas menyempurnakan majlis rumah terbuka Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia 2016 di sini, hari ini.

Katanya lagi, perkhidmatan yang cemerlang juga turut terhasil daripada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) serta pengurusan yang cekap.

Dengan itu katanya, jabatan itu dapat terhindar daripada terpalit dengan sebarang isu negatif termasuk salah tadbir, rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Mustafar pagi tadi memasuki ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Ketua Pengarah jabatan tersebut yang baharu.

 Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Leave a Reply

Top