Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Insentif Khas Bawa Pelancong Ke Bagan Datuk

Insentif Khas Bawa Pelancong Ke Bagan Datuk

BAGAN DATUK, Pengendali dan penggiat industri pelancongan tempatan diminta supaya bergabung bagi membentuk dan menyertai Persatuan Tindakan Pelancongan Bagan Datuk untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong ke daerah itu.

Gesaan itu dibuat Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berharap persatuan tersebut dapat berperanan memantau segala program berkaitan pelancongan khususnya aktiviti promosi.

“Apabila semua penggiat tampil, saya mahu persatuan ditubuhkan dalam masa dua minggu dari sekarang. Dan kita (kerajaan) akan suntik peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menjayakan hasrat ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis Sembang Santai Bersama Timbalan Perdana Menteri anjuran Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) di Pertubuhan Peladang Kawasan Hutan Melintang, di sini hari ini.

Menurutnya insentif sebanyak RM100 akan diberikan kepada mana-mana pengendali dan penggiat industri pelancongan yang bernaung di bawah persatuan tersebut bagi setiap seorang pelancong yang datang ke daerah itu.

“Insentif RM100 akan diberikan dalam masa sebulan selepas mereka bawa pelancong dari mana-mana negara luar,” katanya.

Bagan Datuk pada asalnya dikenali sebagai Bagan Datoh sejak lebih 100 tahun sebelum diisytiharkan sebagai sebuah daerah baharu di Perak oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah baru-baru ini.

Bagan Datuk yang mempunyai keluasan 94,969 hektar itu didiami 70,300 penduduk daripada empat mukim iaitu Bagan Datuk, Hutan Melintang, Rungkup dan Teluk Baru, merangkumi 48 kampung.

Leave a Reply

Top