MH Online

Laman Suara Rakyat

Inovasi Perlu Bermula Dengan Pendidikan

NILAI, Pembudayaan inovasi dan kreativiti perlulah bermula dengan pendidikan dan melibatkan semua golongan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata ini bertepatan dengan prinsip 1Malaysia yang mana setiap rakyat Malaysia merupakan modal insan yang berpotensi untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada negara.

“Inovasi yang dihasilkan oleh pencipta dan inovator juga perlulah diguna pakai dalam kehidupan seharian kita.

“Sebab itu para pencipta mesti memikirkan adakah produk yang mereka cipta itu boleh diguna pakai oleh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Islamic Global Innovation Festival and Talents (i-GIFT) dan Majlis Penyampaian Anugerah Ekspo Inovasi Islam, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.

Mengenai i-GIFT, Abu Bakar berkata program seumpama ini memberi peluang kepada para pencipta dan inovator untuk bertemu dan mempamerkan produk inovasi ciptaan masing-masing.

“Melalui program ini, para penyelidik dan pelajar pelbagai peringkat pengajian akan menerima pendedahan awal tentang inovasi dan kepentingannya kepada pembangunan sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu, peserta dari USIM memenangi Anugerah Inovasi Islam (Kategori Prasiswazah) menerusi ciptaannya ARSOM: Aplikasi Android bagi pembelajaran bahasa isyarat Arab menggunakan realiti bertambah dan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Peserta dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor juga mengungguli Anugerah Inovasi Islam (Kategori Terbuka) menerusi ciptaan Model Rumah Sadaqa dan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi dan sijil.

Program i-GIFT yang bertemakan Inovasi Untuk Kesejahteraan Masyarakat berlangsung dua hari bermula semalam, disertai 2,500 peserta terdiri daripada pelajar universiti dan sekolah serta agensi kerajaan.

Antara program dilaksanakan di bawah i-GIFT ialah Ekspo Inovasi Islam kali kelapan (8th i-Inova 18) yang bertujuan mendedahkan inovasi melalui pemikiran kreatif; pameran Sains, Teknologi, Keagamaan, Kejuruteraan, Kesenian dan Kesusasteraan dan Matematik (STREAM); pendidikan kepenggunaan halal (Halal Istihlak), pameran Quran Sunnah untuk golongan istimewa dan seminar.