Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Inisiatif Pencarum KWSP Pastikan Tunai Terus Ke Poket Rakyat

Inisiatif Pencarum KWSP Pastikan Tunai Terus Ke Poket Rakyat

KUALA LUMPUR, Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran caruman akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam membantu pencarum mengharungi impak penularan COVID-19, kali gus mengurangkan kesannya terhadap ekonomi negara itu.

Penganalisis ekonomi berpendapat, langkah jangka pendek bagi membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna itu adalah positif dalam aspek ia bersifat ‘langsung’ dengan wang tunai sampai terus ke poket rakyat yang mencarum.

Bagaimanapun, kesan negatif pula adalah kemungkinan berlaku inflasi dan kenaikan harga barang jika semua pencarum, sama ada yang terjejas dengan COVID-19 atau tidak, dibenarkan membuat pengeluaran.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata dalam keadaan sekarang, iaitu sebelum ekonomi pulih, pengeluaran barang adalah terhad dan harganya mungkin meningkat apabila rakyat mempunyai kemampuan kewangan.

“Apabila rakyat ada lebihan tunai dalam tangan, sedangkan pengeluaran barangan terhad, ini akan meningkatkan harga barang,” katanya menyarankan kerajaan wajar hanya membenarkan ahli terkesan dengan COVID-19 mendapat akses kepada kemudahan itu, iaitu yang diberhentikan kerja, cuti tanpa gaji atau terkena jangkitan.

Sambil menyifatkan had pengeluaran RM500 sebulan itu baik kerana dapat mengekang isi rumah daripada berbelanja berlebihan, Mohd Yusof bagaimanapun menegaskan, masih ada rakyat terkeluar daripada bantuan berkenaan kerana tidak semua ada caruman KWSP atau jika ada, hanya caruman yang kecil dalam akaun dua.

Penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpandangan, keputusan kerajaan itu tepat pada masa kerana KWSP mempunyai dana bernilai tinggi ketika ini, namun penyelesaian lain seperti meraih pendanaan atau pelaburan dalam sukuk dan bon, perlu segera dicari.

“Jika COVID-19 berlarutan dan langkah kawalan dipanjangkan, ia akan terus memberi tekanan kepada rakyat. Jadi, kerajaan perlu mempelbagaikan usaha seperti pendanaan awam yang memberi balik pulangan selepas COVID-19 berakhir,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata inisiatif bermula bulan depan itu dapat membantu rakyat berpendapatan rendah dan ahli KWSP tidak aktif, yang mana sebahagian mungkin mempunyai akaun dengan dana pencen itu, tetapi akaun tidak aktif.

“Langkah itu wajar kerana ia akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka walaupun seketika kerana skim pengeluaran yang diumumkan itu, hanya langkah sementara,” katanya.

Leave a Reply

Top