MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Ini Satu Penghargaan Kepada Saya Dan Keluarga’

'Ini Satu Penghargaan Kepada Saya Dan Keluarga'

KUALA LUMPUR, Datuk Azhar Harun menafikan diarah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, sebaliknya dipelawa untuk menerima jawatan terbabit dan menyifatkannya sebagai penghargaan besar terhadap diri dan keluarganya.

“Tidak, saya tidak dipaksa atau diarah. Saya dijemput oleh kerajaan untuk menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan ini jelas satu penghargaan kepada saya dan keluarga.

“Jemputan itu berlaku sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen yang menyokong atau tidak dan semua yang terbabit dalam proses pelantikan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas tamat persidangan hari pertama Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ditanya sama ada ‘menyesal’ menerima jawatan itu kerana perlu berdepan pelbagai kerenah Ahli Parlimen pada hari pertamanya, Azhar berkata, ia adalah pengalaman yang baik.

“Itu bukan zoo. Itu Dewan Rakyat kita. Satu pengalaman yang baik. Kita belajar daripada pengalaman itu.

“Sejauh mana saya boleh mengawal Dewan Rakyat? Kita akan cuba sedaya-upaya. Itu tugas semua Ahli Parlimen termasuk Speaker dan Timbalan Speaker,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar memberi jaminan akan meneruskan usaha pembaharuan Parlimen yang dilaksanakan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ini.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu juga sedia menambah baik inisiatif yang dimulakan Mohamad Ariff bagi memastikan usaha pembaharuan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Bekas Speaker adalah pensyarah saya dahulu dan rakan kongsi di firma guaman. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau atas semua jasanya sepanjang menjawat tugas sebagai Speaker Dewan Rakyat,” katanya.