Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Ini Proses Biasa’

‘Ini Proses Biasa’

KUALA LUMPUR, Barisan Nasional (BN) menyifatkan tiada perkara luar biasa berhubung pencalonan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, berkata ia berikutan Azhar mempunyai latar belakang dalam undang-undang selain memenuhi kriteria tertentu diperlukan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selain itu, katanya, tidak wajar pencalonan Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dikaitkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun yang juga abang kepada Pengerusi SPR itu.

“Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai Peguam Negara. Beliau dilantik sebagai Pengerusi SPR sebelum lantikan Peguam Negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.

“Bagaimanapun, saya rasa semua pihak boleh berspekulasi sehingga perkara ini (lantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat) disahkan. Seseorang yang hendak dilantik ke jawatan ini memang perlu melepaskan semua jawatan, termasuk dalam parti politik atau mana-mana badan lain.

“Beliau (Yang Dipertua Dewan Rakyat) harus melaksanakan tanggungjawab bersesuaian dengan status dan kedudukan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Proses ini saya anggap biasa tetapi pelantikan akan berlaku ketika dewan bersidang selepas mendapat majoriti mudah daripada Ahli Parlimen,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Difahamkan, Azhar yang juga dikenali sebagai peguam hak asasi manusia itu sudah melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi SPR, semalam, susulan beliau dicalonkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menghantar usul bagi menggantikan Yang Dipertua Dewan dan timbalannya, Nga Kor Ming, pada 26 Jun lalu, dan dijangka membentangkannya pada persidangan yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Pahat merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak terjejas dengan pencalonan baharu itu.

Leave a Reply

Top