Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Satu Jenayah

Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Satu Jenayah

KUALA LUMPUR, Keingkaran kepada Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa hari ini hingga 31 Mac adalah satu kesalahan jenayah dan moral.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata mengikut Seksyen 11(4) dibaca bersama Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, hukuman bagi kesalahan itu ialah penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

“Perintah itu demi menjaga kemaslahatan rakyat serta kepentingan semua berdasarkan keadaan semasa, di mana bilangan suspek serta mangsa COVID-19 yang semakin meningkat serta terbaharu, membabitkan kes yang meragut dua nyawa,” katanya, dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Justeru, beliau meminta rakyat tidak menganjur malah perlu menangguhkan sebarang perhimpunan sosial yang dirancang demi kesejahteraan negara sehingga keadaan diisytihar selamat.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

Sebanyak 120 kes positif baharu dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah kumulatif di Malaysia meningkat kepada 673 kes dengan dua kematian.

Leave a Reply

Top