MH Online

Laman Suara Rakyat

Industri Halal Punya Potensi Besar

Industri Halal Punya Potensi Besar

KUALA LUMPUR, Industri halal kekal mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan strategi terancang dan inklusif, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, eksport halal pada tahun lalu bernilai RM40.2 bilion atau 4.1 peratus bagi keseluruhan eksport negara yang berjumlah RM986.4 bilion.

“Ini bermakna potensi industri halal ini masih mempunyai ruang cukup besar. Untuk 2019, Malaysia merekodkan sejumlah 1,876 syarikat pengeksport produk halal. Bagaimanapun, 1,430 syarikat atau 76.2 peratus adalah dalam kalangan industri kecil dan sederhana (PKS),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Mohamed Azmin berkata, kepentingan industri halal menyebabkan Halal Development Corporation (HDC) dipindahkan ke kementerian berkenaan supaya industri itu tidak hanya tertumpu kepada pensijilan semata mata, malah sebagai industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

Sementara itu, beliau berkata, saiz pasaran halal global pada masa ini dianggarkan bernilai US$3 trilion dan dijangkakan berkembang lebih pesat kepada US$7.7 trilion menjelang 2030.

Beliau turut bersetuju dengan saranan Datuk Seri Shahidan Kassim (UMNO-Arau) supaya industri halal memerlukan pendekatan baharu bagi menangani potensi pasaran yang besar ini.

Sebagai contoh, katanya, Australia adalah pengeksport daging terbesar dunia manakala pengimport daging halal negara itu termasuk Indonesia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Malah, beliau berkata, Jepun memberi fokus kepada makanan halal dan mensasarkan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN untuk pasaran eksport mereka.

Mengenai pembabitan kerajaan dalam memperkasa industri halal, Mohamed Azmin berkata, masih ada keperluan bagi latihan meningkatkan kepakaran PKS terutamanya untuk meningkatkan sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.

Bagi negara untuk maju ke hadapan, katanya, penyusunan semula strategi pemerkasaan sedang dilaksanakan sebagai langkah awal yang memberi fokus kepada pembangunan industri berdasarkan pengetahuan.

“Ini dengan memperkukuhkan institusi ekosistem halal negara, meningkatkan nilai dagangan dan daya saing industri melalui pertumbuhan sektor berpotensi tinggi dan berkaitan, meningkatkan jumlah tenaga mahir dan profesional tempatan serta menggalakkan aktiviti pengkomersialan produk halal melalui penerimaan teknologi tinggi dan inovasi,” katanya.