MH Online

Laman Suara Rakyat

Indonesia Sasar Buka Semula Sektor Ekonomi Mulai September

Indonesia Sasar Buka Semula Sektor Ekonomi Mulai September

JAKARTA, Indonesia menyasar untuk membuka semula ekonomi republik itu secara berperingkat mulai September ini, ketika kerajaan mengumumkan lanjutan sekatan pergerakan sehingga minggu depan di beberapa wilayah kepulauan Asia Tenggara, kata menteri kanan.

Indonesia berdepan lonjakan eksponen bagi kes COVID-19 di hospital yang menyaksikan kematian meningkat ke tahap tinggi sejak bulan lalu didorong varian Delta yang sangat mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin, berkata gelombang jangkitan bagaimanapun sudah melepasi tempoh kemuncak apabila bilangan kes harian disahkan menurun.

Pihak berkuasa melakukan sekatan pergerakan sejak 3 Julai lalu, dan pegawai kerajaan mengumumkan sekatan ketat tahap empat akan dilanjutkan di beberapa daerah di Jawa dan Bali serta beberapa bandar lain.

Tidak jelas sama ada kelonggaran akan dibuat di ibu negara, Jakarta.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, dalam satu kenyataan berkata, semua pihak perlu terus berwaspada dan mengambil langkah bagi mengawal penularan kes COVID-19.

Menteri mengawasi langkah pencegahan, Luhut Pandjaitan, berkata sasaran pembukaan semula kegiatan ekonomi pada September ini bergantung pada kadar vaksinasi, peningkatan saringan, pengesanan dan rawatan.

Indonesia melancarkan program vaksinasi pada Januari lalu, tetapi sasaran gagal dicapai susulan masalah logistik, isu bekalan dan keraguan terhadap vaksin. Kurang 10 peratus populasi yang disasarkan sudah lengkap divaksin.

Budi berkata, negara itu akan menerima 258 juta dos vaksin antara Ogos dan Disember ini, dengan kemungkinan pertambahan 72 juta dos, memadai bagi mencapai sasaran sehingga 70 juta suntikan setiap bulan pada Ogos dan September.

Republik itu melaporkan, sejumlah 56,757 kes dan 2,069 kematian masing-masing pada 15 dan 27 Julai lalu.

Biarpun jumlah kes harian mula menurun dengan purata 33,800 sehari minggu lalu, kadar positif tetap tinggi dan terdapat kebimbangan varian Delta masih boleh tersebar di wilayah di luar Jawa, terutama di daerah terpencil dilengkapi perkhidmatan kesihatan tidak memuaskan.

Secara keseluruhannya, negara keempat paling padat di dunia itu mencatatkan 3.46 juta kes COVID-19 dengan lebih 97,000 kematian. – AGENSI