Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Indonesia Kekang Ceramah Radikal

Indonesia Kekang Ceramah Radikal

Majlis Ulama Indonesia (MUI) memulakan program untuk menyeragamkan dan melatih ulama bagi memastikan mereka menggalakkan Islam sederhana.

Jurucakap MUI, Muhammad Cholil Nafis berkata, pihaknya akan menjemput guru agama yang sering menyampaikan ceramah untuk menyertai program tersebut bagi membantu menetapkan hala tuju dakwah mereka.

“MUI kemudiannya akan mengiktiraf mereka sebagai da’i. Ulama perlu menggalakkan Islam sederhana atau mengamalkan konsep wasatiyyah seperti yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.AW,” katanya.

Sijil yang diterima daripada program terbabit adalah sebahagian daripada percubaan MUI untuk membendung penyebaran radikalisme melalui ceramah di masjid.

Sebelum ini, badan berkenaan pernah melahirkan kebimbangan tentang fenomena ulama yang menggunakan ceramah untuk menyebarkan radikalisme, kebencian terhadap kumpulan agama minoriti dan sokongan kumpulan militan Daesh.

Melalui kajian yang dijalankan Persatuan Pesantren dan Pembangunan Masyarakat dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Rumah Kebangsaan pada 2017 mendapati 41 daripada 100 masjid di pejabat menteri, agensi negeri dan kompleks perbadanan milik negara di Jakarta menyebarkan ajaran radikal ketika solat Jumaat.

Daripada 41 masjid terbabit, 21 daripadanya berada di bangunan syarikat milik kerajaan, lapan di agensi negeri dan 12 di bangunan kementerian. – Agensi

Leave a Reply

Top