Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Individu Rancang Serangan Ramadan Dihadapkan Ke Mahkamah

Individu Rancang Serangan Ramadan Dihadapkan Ke Mahkamah

KUALA TERENGGANU, Ketua kumpulan ‘wolf pack’ yang merancang serangan terhadap empat individu berprofil tinggi dan rumah ibadat di negara ini pada minggu pertama Ramadan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, yang bekerja sebagai buruh binaan dan berasal dari Kuala Berang didakwa mengikut lapan pertuduhan dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama mengikut Seksyen 130 J(1) (B) Kanun Keseksaan (Akta 574), tertuduh didakwa mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Persiaran Kewajipan USJ, Petaling, Selangor, melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’.

Dia yang sudah berkahwin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Teris, Hulu Terengganu, antara jam 9.48 malam pada 7 Januari lalu hingga 5.45 petang pada 5 Mei lalu.

Bagi pertuduhan itu, Mahadi boleh dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat atau tidak lebih 30 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta yang digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama apabila didakwa mencari sokongan terhadap pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat warga negara Malaysia melalui kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 130F (A) (Akta 574) dan Seksyen 130F (B) kanun sama iaitu dengan pengetahuan bersetuju memberikan latihan penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dan memberikan arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan WhatsApp berkenaan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas dan mendapatkan enam butir ‘pipe bom’ untuk tujuan sama di Kampung Teris, Hulu Terengganu jam 6.03 petang 4 Mei lalu.

Tertuduh juga mendapatkan sepucuk pistol semi-automatic CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis “Luger 9MM” untuk melaksanakan perbuatan pengganas di Kampung Teris, Hulu Terengganu, jam 4.32 petang pada 5 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 130E Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana merekrut beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp ‘Sejati Sejiwa’ dan Seksyen 130JB(1)(A) kanun sama kerana memiliki item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS) melalui sebuah telefon bimbit jenama Alcatel di Kampung Teris, Hulu Terengganu, jam 5.45 petang pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 9 Julai sebagai tarikh sebutan kes dan tiada jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh yang berbaju-T dan berseluar panjang hitam tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media tempatan melaporkan, empat lelaki, termasuk seorang warga tempatan, ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield pada tahun lalu.

Leave a Reply

Top