MH Online

Laman Suara Rakyat

Individu Ingkar PKP Akan Dituduh Di Mahkamah

Individu Ingkar PKP Akan Dituduh Di Mahkamah

KUALA LUMPUR, Tiada lagi kompromi buat individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai esok, apabila mereka akan direman untuk dituduh di mahkamah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan menetapkan hukuman sedemikian berikutan masih ramai individu yang ingkar sehingga mengakibatkan sasaran pematuhan tidak dapat dicapai.

Selain itu, beliau berkata, ada juga individu yang tidak takut dikenakan kompaun RM1,000 kerana mampu membayarnya.

“Saya dimaklumkan polis bahawa semalam ramai keluar dan sebagainya. Itu betul, benar. Ramai daripada kebiasaan sebab difahamkan ramai yang pergi ke bank untuk keluarkan wang mereka dan wang BPN (Bantuan Prihatin Nasional) diberikan kerajaan.

“Sebab itulah polis bersetuju bahawa pematuhan itu masih lagi tidak mencapai ke tahap yang kita sasarkan. Jadi ramai lagi sudah lupa atau sengaja lupa masih lagi keluar seperti biasa.

“Justeru, polis tidak lagi akan berkompromi dan akan hadap (individu ingkar PKP) ke mahkamah. Mungkin mereka akan direman atau mungkin akan berada di lokap satu, dua hari. Sebabnya, bila beri kompaun mereka boleh bayar kerana ramai tak takut dikompaun.

“Insya-Allah, mulai esok tiada kompromi lagi dan akan tuduh mereka di mahkamah supaya rakyat patuhi setiap arahan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.