Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Iklim Pelaburan 2018 Dijangka Lebih Baik

Iklim Pelaburan 2018 Dijangka Lebih Baik

KUALA LUMPUR, Iklim pelaburan pada 2018 berpotensi untuk menjadi lebih baik berbanding 2017, melihat kepada situasi ekonomi makro yang positif, kata Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Angka ekonomi makro sebenarnya sangat positif. Tahun lepas ekonomi berkembang sebanyak 5.9 peratus dan tahun ini kita menjangkakan pertumbuhan antara lima peratus dan 5.5 peratus.

“Sebenarnya, terdapat petanda keluaran dalam negara kasar berkembang lebih baik daripada itu,” katanya pada taklimat media sempena sambutan ulang tahun ke-40 PNB, yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, pada khamis.

Bagaimanapun, katanya, apa yang penting adalah memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh diterjemahkan menjadi keuntungan korporat yang lebih baik.

Sebelum ini dilaporkan bahawa PNB berharap syarikat korporat Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi berbanding 6.9 peratus yang diunjurkan tahun ini.

“Ia bukan sekadar hanya untuk meningkatkan kuantiti tetapi kita juga mahukan syarikat korporat Malaysia menambah baik keuntungan mereka dan mengoptimumkan kos mereka. Ini akan menjadi fokus kami pada 2018,” katanya sambil menambah PNB akan mengeluarkan Laporan Tahunan 2017 serta mengumumkan dividen Amanah Saham Bumiputera 2 pada 29 Mac.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Najib, yang juga Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) iaitu yayasan di mana PNB bernaung, mengumumkan saguhati istimewa sebanyak RM2,000 kepada setiap 1,500 warga PNB yang akan mula disalurkan pada Mei ini.

Najib berkata, ia diberikan bagi meraikan ulang tahun ke-40 dan pencapaian cemerlang syarikat pengurusan dana terbesar negara itu sepanjang ditubuhkan.

PNB adalah instrumen pelaburan bagi YPB, yang ditubuhkan pada Januari 1978 bagi merangka dasar dan garis panduan bagi penyertaan pelaburan ekuiti Bumiputera.

Leave a Reply

Top