Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Iceland Negara Eropah Paling Mahal

Iceland Negara Eropah Paling Mahal

Mata air panas Iceland bukan punca kebanyakan pelancong yang berkunjung ke negara itu berpeluh tetapi melihat kepada bil hotel atau makanan tengah hari yang menunjukkan segala-galanya mahal, malah lebih mahal berbanding beberapa negara lain di Eropah.

Menurut data Eurostat, di pulau ‘subartic’ itu, harga pengguna secara purata lebih tinggi sehingga 56 peratus berbanding beberapa negara lain di Eropah pada 2018, menjadikan Iceland satu-satunya negara termahal, di hadapan Switzerland (52 peratus), Norway (48 peratus) dan Denmark (38 peratus).

Quint Johnson, pelancong dari Amerika Syarikat membuat sedikit penyelidikan sebelum melancong selama seminggu bersama keluarga ke negara itu untuk mengelak sebarang kejutan.

“Tetapi ia sedikit mengejutkan,” kata pelajar berusia 22 tahun itu kepada AFP, selepas mendapati harga makanan biasa seperti ‘hamburger’ bersama kentang goreng dan minuman keras agak mahal.

Sekali lihat pada menu di restoran Iceland menunjukkan piza keju biasa berharga kira-kira 2,400 kronor (RM78.00), segelas wain pula beharga sekurang-kurangnya 10 euro (RM46.00) dan segelas ‘beer’ pula beharga 7 euro (RM32.00).

“Harga itu sangat tinggi berbanding dengan apa yang sering saya bayar,” kata Johnson.

Berdasarkan laman web Numbeo, perbandingan harga pengguna, makan malam untuk dua orang secara purata di sebuah restoran bernilai 85 euros (RM392.00), sebotol wain yang dijual dikedai berharga 17 euros (RM78.00) dan 12 biji telur berharga sehingga lima euros (RM23.00).

Populasi 355,000 orang ditambah dengan kebergantungan terhadap barangan import dan cukai yang tinggi terhadap alkohol menyumbang kepada harga barang yang tinggi di Iceland.

“Iceland negara kecil. Jadi agak sukar untuk mendapatkan skala ekonomi yang sama seperti yang dikenakan terhadap syarikat di negara yang 100 kali lebih besar,” kata ketua ekonomi Dewan Perniagaan Iceland, Konrad Gudjonsson. – AFP

Leave a Reply

Top