MH Online

Laman Suara Rakyat

Hyundai Catat Keuntungan Tertinggi

Hyundai Catat Keuntungan Tertinggi

Pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai Motor Co, mencatat keuntungan bersih suku tahunan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, didorong oleh mata wang tempatan yang rendah sekali gus meningkatkan pendapatannya di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, pengenalan beberapa model baharu meningkatkan jualan di peringkat domestik.

Prestasi kukuh di pasaran domestik dan AS itu membantu mengimbangi kejatuhan jualan di China, yang mana pertumbuhan ekonomi yang perlahan, perang perdagangan dengan AS dan kurangnya model untuk bersaing mendorong pembuat kereta itu menggantung pengeluaran di kilang tertuanya, awal tahun ini.

Bagaimanapun, pemulihan pendapatan akan terkesan memandangkan Hyundai berpotensi berdepan mogok oleh kesatuan pekerja Korea Selatan yang boleh menjejaskan bekalan model seperti kenderaan utiliti sukan (SUV) Palisade di pasaran domestik dan luar negara, kata penganalisis.

Keuntungan bersih naik 31.2 peratus kepada 919.3 bilion won (RM3.211 bilion), keuntungan terbesar sejak suku pertama 2012.

Keuntungan operasi naik 30.2 peratus kepada 1.24 trilion won manakala pendapatan meningkat 9.1 peratus kepada 26.97 trilion won, kata pembuat kereta itu dalam satu kenyataan kepada bursa saham.

Pewaris syarikat, Euisun Chung mendorong pemulihan keuntungan selepas enam tahun mencatatkan kerugian.

Pengerusi Naib Eksekutif itu secara agresif meninjau sokongan pelabur untuk melihat semula rancangan penyusunan pemilikan ketika beliau bersedia untuk mengambil alih Hyundai Motor daripada bapanya, yang kini berusia 81 tahun.

Cadangan sebelum ini telah dibatalkan tahun lalu berikutan pemegang saham pembangkang, terutamanya dari dana lindung nilai AS, Elliott Management Corp.

Di pasaran tempatan, model baharu seperti SUV Palisade dan Sonata sedan membantu jualan melonjak 8.1 peratus, berbanding prestasi buruk pesaingnya dari luar negara.

Pembuat automatif itu merancang untuk menjual SUV Palisade baharu di AS, berikutan ia memenuhi kehendak pasaran semasa pengguna SUV di negara itu.

Bagi mengancam pelan itu, Kesatuan Hyundai Korea Selatan akan mengundi sama ada untuk meluluskan tindakan mogok selepas berbincang mengenai gaji tahunan mereka pada Jumaat lalu.

Pertikaian berpanjangan boleh memberi kesan lebih besar terhadap jualan dan pendapatan tahun ini kerana, tidak seperti tiga atau empat tahun lalu yang mencatatkan pertumbuhan perlahan, penjualan model baharunya lebih pesat, kata penganalisis Samsung Securities, Esther Yim dalam satu laporan baru-baru ini.

Saham Hyundai jatuh selepas pengumuman pendapatannya, dengan dagangan tidak berubah sejajar dengan pasaran lebih meluas.

-Reuters