Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hukuman Mati Perlu Dikekalkan

Hukuman Mati Perlu Dikekalkan

KUALA LUMPUR, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kerajaan PH supaya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati tanpa mengambil kira pandangan dan kebimbangan rakyat.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, cadangan mengkaji semula hukuman mati atas alasan hak kemanusiaan disifatkan tidak relevan dan tidak adil selain akan menimbulkan pelbagai masalah lain di negara ini.

Menurutnya, keselamatan dan ketenteraman rakyat juga akan terancam apabila hukuman mati tidak lagi menjadi ‘amaran’ kepada individu yang mahu melakukan jenayah berat.

“Jika hukuman mati diganti dengan hukuman penjara seumur hidup, kerajaan terpaksa tanggung kebajikan banduan dengan kos tinggi. Sebanyak RM41 seorang setiap hari dibelanjakan untuk penyediaan makanan banduan. Bayangkan jika perlu menanggung lebih ramai banduan dengan tempoh lama.

“Kita juga bimbang jenayah berat akan terus meningkat kerana orang sudah tidak lagi takut untuk membuat jenayah. Mereka akan fikir, jika ditangkap pun hanya akan masuk penjara dan semuanya akan ditanggung,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Ibrahim berkata, sejak pengumuman kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang hukuman mati, pihaknya menerima pelbagai reaksi dan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk waris mangsa yang maut akibat perbuatan jenayah.

“Keluarga mangsa jenayah juga ada hak dan atas dasar hak kemanusiaan juga mereka patut dapat keadilan. Jenayah tidak mengenal mangsa, ini bukan isu politik atau perkauman. Sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa jenayah tidak kira siapa pun,” katanya.

Menurutnya, kerajaan PH tidak boleh tunduk dengan permintaan daripada pihak minoriti sebaliknya mewujudkan referendum rakyat atau pungutan suara bagi mendengar pendapat orang ramai sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati.

“Perkasa tidak boleh laksanakan sendiri nanti akan ada yang mempertikaikan hasilnya. Tapi kerajaan boleh laksanakan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan tempoh selama dua bulan.

“Tempoh berkenaan untuk kumpulan yang anti hukuman mati dan kumpulan pro hukuman mati berkempen di seluruh negara,” katanya.

Ibrahim berkata, Perkasa turut melaksanakan petisyen atas talian bagi mendapatkan sokongan masyarakat supaya hukuman mati tidak dimansuhkan.

“Pendirian Perkasa adalah jelas bahawa hukuman mati ini perlu dikekalkan demi kesejahteraan negara,” katanya.

Leave a Reply

Top