PENDANG, Pembinaan hospital baharu di Pendang tetap akan dilaksanakan kerajaan seperti yang dijanjikan sebelum ini dan ia bukannya sekadar ‘gula-gula’ pilihan raya.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan sering menerima tuduhan seperti ini, namun rakyat perlu faham untuk membina sebuah hospital memerlukan penelitian dari segi kos dan peruntukan serta pelbagai sudut lain.

“Namun kerajaan tidak akan menoleh ke belakang dan akan memastikan hospital ini akan terbina dan tender akan dikeluarkan pada September ini kerana telah mendapat kelulusan daripada kerajaan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan,” katanya kepada media selepas Majlis Hari Raya Muafakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, di Pusat Khidmat DUN itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Pendang Zaid Ahmad serta kepimpinan UMNO bahagian Pendang.

Untuk rekod, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Hospital Pendang antara enam hospital baharu yang akan dibina selain di Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran dan Baling.

Hospital yang dijangka menelan kos RM220 juta itu akan dilengkapi 250 katil dengan 11 kepakaran antaranya pediatrik, ortopedik, kecemasan dan trauma, patologi serta radiologi, dijangka akan dibina di Kampung Banggol Pauh, di sini.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, sokongan rakyat kepada UMNO di daerah ini masih utuh dan padu apabila ribuan rakyat pelbagai kaum hadir pada setiap majlis yang dianjurkan.

“Ini menunjukkan rakyat terus bersama-sama kita memberi sokongan kepada ADUN di kawasan mereka, ini satu petanda yang baik bahawa orang ramai masih lagi sayang dan membantu ahli yang berhormat masing-masing,” katanya.

Katanya, jika rakyat saling membantu pemimpin dan sentiasa bermuafakat, apa sahaja cabaran yang dihadapi dapat disempurnakan dengan baik dan hasilnya dapat dirasai keseluruhan rakyat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *