Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Hormati Keputusan Rakyat’

‘Hormati Keputusan Rakyat’

KUALA LUMPUR, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mujahid Yusof menegaskan isu cubaan menubuhkan kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’ dinilai seolah-olah mahu menggugat mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dan berhenti menggerakkan usaha menubuhkan kerajaan baharu.

“Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang diberi mandat melalui proses demokrasi dan rakyat perlu menghormati keputusan itu.

“Kami menjalankan tugas dengan harapan dasar-dasar diterima dan ia memberi harapan besar kepada rakyat. Jadi, isu ini seolah-olah tidak menghormati mandat yang sudah diberikan,” katanya selepas Program Kembara Rahmah Zakat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan wujudnya gerakan ‘pintu belakang’ membentuk kerajaan baharu yang mengaitkan nama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menggerakkan usaha tanpa penglibatan dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Katanya, dakwaan mengaitkan namanya itu membuktikan PH mempunyai masalah dalaman antara satu sama lain sehingga sanggup menuduh berlaku gerakan mewujudkan kerajaan baharu itu.

Menurutnya, keretakan PH jelas kelihatan namun cuba ditutup dengan menjadikan pembangkang sebagai kambing hitam.

Leave a Reply

Top