Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hormati Ilmu Dan Institusi Pengajian Tinggi

Hormati Ilmu Dan Institusi Pengajian Tinggi

Oleh: Shafezah Abdul Wahab

Rata-rata universiti awam meraikan kecemerlangan para graduan dalam majlis dan istiadat konvokesyen masing-masing baru-baru ini. Dan insiden biadap graduan Universiti Malaya menunjukkan tanda protes sejurus selepas menerima skrol ijazah sarjana muda dalam majlis istiadat konvokesyen itu mendapat perhatian ramai dan mengundang kecaman daripada netizen.

Tindakan ini mencerminkan sikap generasi yang kian luntur adab dan budaya serta tidak menghormati ilmu yang dipelajari. Dalam erti kata lain, biadap!

Perlu diingat bahawa institusi pengajian tinggi atau lebih sedap disebut universiti berperanan melahirkan graduan yang sentiasa berpegang kepada budaya bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Selain itu, ia juga selaras dengan aspirasi dan inspirasi untuk memperkukuhkan dan menggabungkan pendidikan moral dan rohani dengan sistem pendidikan kebangsaan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan serba boleh. Namun apa sudah jadi dengan graduan di Universiti Malaya ini?

Universiti merupakan gedung ilmu yang berperanan sebagai landasan untuk membentuk anak bangsa yang berkualiti, bernilai tinggi bagi menjana kecemerlangan dan kegemilangan agama, bangsa, ekonomi dan negara.

Selaras dengan peranannya, mendidik dan melahirkan modal insan profesional, berilmu dan berdaya saing, setiap universiti di seluruh negara bertekad menjadi sebuah institusi yang memberi fokus kepada kecemerlangan dalam bidang akademik membabitkan pengajaran dan juga pembelajaran. Dalam masa sama, turut menitikberatkan kualiti dan pembangunan kerohanian sahsiah mahasiswa serta modal insan dalam pelbagai bidang.

Matlamat ini diharap dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara khususnya. Pemindahan ilmu, idea dan pelbagai sumbangan kepada pihak universiti tidak seharusnya terhenti ketika penuntut menamatkan pengajian, sebaliknya perlu dibuat secara berterusan.

Pihak universiti begitu cakna terhadap isu pendidikan, namun ia seringkali disalah erti apabila perubahan dasar pendidikan negara dikaitkan dengan kuasa eksekutif menteri dan politik. Hakikatnya, perubahan yang dilakukan adalah bagi memperbaiki kualiti agar setanding dengan tuntutan di peringkat antarabangsa.

Kerajaan meletakkan kepercayaan serta harapan kepada anak muda kerana merekalah pewaris negara dan secara tersiratnya merekalah generasi yang lahir pasca era Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Pembangunan negara hari ini dipelopori dan bergantung dengan bekas anak didik universiti yang telah berjaya dan berkerjaya. Oleh itu, kerajaan menerusi pembangunan modal insan bukan sahaja penting kepada pertumbuhan masyarakat, malah memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi.

Oleh itu graduan harus bersama-sama menyumbang idea bagi membentuk Malaysia dengan acuan sendiri tanpa sebarang pengaruh luar dan jauh daripada sebarang unsur asing. Tidak hanya pada graduan atau mahasiswa, tanpa mengira bangsa, agama dan taraf sosial sekali pun, mesti bersama-sama menyumbang idea memastikan kelestarian pembangunan negara pada masa depan. Bukan dengan cara protes untuk menyuarakan rasa tidak puas hati.

Besar tanggungjawab universiti untuk berusaha melahirkan modal insan bagi menggerakkan ekonomi terutama berasaskan inovasi dan hubungan dengan masyarakat. Justeru itu, pembabitan graduan adalah penting kerana secara tidak langsung akan dapat menaikkan reputasi universiti dan pendidikan negara.

Tahniah dan syabas kepada semua graduan!

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka

Leave a Reply

Top