Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Hishammuddin Boleh Cari Sendiri’

‘Hishammuddin Boleh Cari Sendiri’

BANGKOK, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bebas mencari ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, di China jika mahu berbuat demikian, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bagaimanapun tidak akan menghulurkan sebarang bentuk bantuan.

Dr Mahathir berkata, sesiapa saja termasuk Hishammuddin, bebas membantu kerajaan mengesan Jho Low yang dikehendaki bagi membantu siasatan skandal dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Beliau (Hishammuddin) boleh berbuat demikian jika mahu. Kita tidak akan beri apa-apa bantuan langsung.

“Kita tidak perlukan beliau untuk menjadi wakil kerajaan dalam hal itu, beliau boleh buat sendiri.

“Kalau dia kata dia boleh buat, kita alu-alukan,” katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Jho Low dikehendaki berhubung peranannya dalam skandal 1MDB. Ahli perniagaan itu dipercayai bersembunyi di beberapa negara, termasuk Hong Kong, Macau dan China.

Pada 22 Oktober lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata sedia membantu kerajaan mengesan Jho Low.

Bekas Menteri Pertahanan itu menyifatkan Jho Low sebagai kunci utama dalam meletak noktah terhadap isu 1MDB. Beliau turut dipetik sebagai berkata, sanggup mencari Jho Low ‘hingga ke hujung dunia’.

Leave a Reply

Top