MH Online

Laman Suara Rakyat

Hisham Mohon Maaf Kerana Hisap Vape Di Dewan Rakyat

Hisham Mohon Maaf Kerana Hisap Vape Di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan permohonan maaf secara rasmi dalam Dewan Rakyat dan mengakui tindakan menghisap rokok elektronik tidak sepatutnya berlaku.

Menyesali perbuatan sedemikian, beliau yang juga ahli Parlimen Sembrong turut menjelaskan sudah membayar kompaun selepas didapati bersalah kerana menghisap ‘vape’ dalam Dewan Rakyat.

“Saya sudah nyatakan apa yang salah tetap salah. Saya sudah akui bahawa saya salah dan saya sudah minta maaf.

“Berkaitan pasal denda, saya sudah pun dikompaun dan saya sudah pun bayar fine (denda) yang diturunkan.

“Kalau Kluang masih nak mainkan politik di dewan, banyak kerja lagi untuk kita bincangkan di sini,” katanya, hari ini.

Isu berkenaan permohonan maaf itu pada mulanya dibangkitkan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) menerusi Peraturan Mesyuarat 41(d) yang menggariskan bahawa ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan Parlimen.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan sekali lagi, meskipun diutarakan pada minggu lalu kerana tindakan sedemikian, khususnya apabila membabitkan Jemaah Menteri berupaya memberi tanggapan buruk terhadap imej negara.

“Apa yang nampak di luar adalah kerajaan ini wujudkan dua darjat kerana rakyat marhaen di luar didenda dan diambil tindakan keras, tetapi YB (Yang Berhormat) di sini tidak didenda atau diambil tindakan keras.

“Saya bangkitkan kerana satu permohonan maaf secara rasmi perlu dibuat dalam dewan ini,” katanya.

Keliru dengan gesaan sedemikian, Hishammuddin berkata permohonan maaf di luar menerusi kenyataan susulan kesalahan merokok itu sudah dilakukan, malah kekesalan sama diutarakan di dalam dewan.

“Tuan Yang Dipertua, saya sudah nyatakan minta maaf dan saya nyatakan maaf dalam dewan ini, apa lagi yang Kluang nak?” katanya sekali gus mencetuskan suasana hingar ketika sesi penggulungan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan isu itu berterima kasih kepada Shu Qi dan mengesahkan permohonan maaf daripada Hishammuddin.