Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hilman Bantah Keputusan Batal Jemputan Azmin

Hilman Bantah Keputusan Batal Jemputan Azmin

KUALA LUMPUR, Seramai 21 daripada 25 Ahli Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, membantah keputusan parti itu membatalkan jemputan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional sayap itu di Melaka, 6 Disember depan.

Diketuai Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham, kenyataan itu menyatakan pembatalan jemputan itu mencerminkan betapa PKR sedang dilanda krisis kepemimpinan sehingga menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan itu adalah satu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres, konvensyen dan tradisi organisasi.

“Justeru, tindakan pembatalan dan kenyataan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu memberi mesej dan teladan yang salah kepada anggota khususnya generasi baharu dalam PKR, melainkan, jika beliau mahu perpecahan dan keberantakan dalam parti ini terus berlaku.

“Maka, kami menyeru supaya kepemimpinan parti mengambil langkah yang tegas untuk mengembalikan PKR di atas landasannya, menggembleng muafakat dan kesatuan anggota serta mempertahankan konvensyen dan tradisi organisasi,” katanya.

Selain Hilman turut serta dalam kenyataan itu, Naib Ketua AMK, Mohd Nazree Yunus dan S Jestin Raj serta Ahli Majlis Pimpinan AMK Selangor, Sarawak, Melaka, Terengganu, Sabah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Johor, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Hilman ketika dihubungi menyatakan sebagai Timbalan Ketua AMK yang sah dan dipilih oleh anggota dalam pemilihan parti, beliau mempunyai hak untuk menyatakan pandangan dan memberi kepimpinan yang jelas kepada anggota AMK.

“Apatah lagi, kenyataan bersama 21 daripada 25 kepemimpinan yang menang dan dipilih dalam pemilihan,” katanya mempertahankan kenyataan beliau itu.

Hilman menjelaskan secara konvensyen dan tradisi, setiap tahun Kongres Nasional AMK dan Wanita dirasmikan Timbalan Presiden parti

Ditanya mengenai keputusan mesyuarat AMK sudah memutuskan penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menggantikan Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres itu, katanya keputusan mesyuarat itu tidak sah kerana tidak mengambil kira pandangan 21 daripada 25 pimpinan dipilih oleh anggota dalam pemilihan.

“Itu keputusan ‘syok sendiri’,” katanya.

Mengulas isu sama, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, 21 Ahli Pimpinan AMK sepatutnya merujuk keputusan mesyuarat yang diadakan pada 20 Oktober lalu yang memutuskan Timbalan Perdana Menteri dan juga penasihat parti, Dr Wan Azizah merasmikan Kongres AMK.

Katanya, beliau tidak faham dengan kenyataan terbaru Timbalan Ketuanya dan 20 lagi Ahli Majlis Pimpinan yang menyatakan keputusan pembatalan jemputan diputuskan Setiausaha Agung parti, sedangkan keputusan itu dibuat di peringkat AMK.

“Saya pun tidak pasti mengapa perkara itu dikaitkan dengan Setiausaha Agung, sedangkan ia keputusan AMK sendiri,” katanya.

Leave a Reply

Top