MH Online

Laman Suara Rakyat

Henti Keluar Kenyataan, Guna Saluran Parti

Henti Keluar Kenyataan, Guna Saluran Parti

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kepemimpinan dan ahli parti itu menghentikan serta-merta sebarang kenyataan terbuka yang berkait dengan perbalahan dalaman parti.

Sebaliknya, beliau menggesa semua pimpinan dan ahli parti mengemukakan pandangan dan bantahan menerusi saluran parti, khususnya kepada Lembaga Disiplin.

“Parti harus tegak atas asas dan khittah (rancangan) perjuangan memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, membela nasib rakyat semua kaum terutama yang miskin dan terpinggir dari arus pembangunan.

“Rakyat yang pernah meletakkan kepercayaan kepada kita ternyata bosan dengan kenyataan yang merujuk kepada percaturan politik dalaman.

“Kita wajib untuk meningkatkan usaha dan kinerja (sasaran prestasi) untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Anwar tidak merujuk mana-mana kenyataan atau insiden.

Isu perbalahan PKR memasuki episod baharu selepas selesai Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka hujung minggu lalu yang menyaksikan krisis antara kumpulan Anwar dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memburuk.

Ahad lalu, kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin mengadakan majlis makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di ibu kota yang menyaksikan ucapan beberapa pemimpin mengkritik Anwar.

Rentetan kenyataan dan ucapan itu, beberapa pemimpin parti termasuk kepemimpinan Wanita dan AMK PKR menyelar pemimpin melalui media massa dan media sosial.

Hari ini pula, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikaitkan dengan PKR, Otai Reformis 98 menghantar memorandum dan membuat sidang media mendesak supaya Mohamed Azmin serta enam pemimpin lain dipecat didakwa melanggar disiplin parti, khususnya tidak menghormati Anwar.