MH Online

Laman Suara Rakyat

Hasil Kajian UMP Diharap Dapat Diaplikasi Pihak Industri Di Pahang

Kerajaan negeri Pahang berharap semua hasil kajian yang dihasilkan penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) diaplikasikan pihak industri di negeri ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata oleh itu, UMP diharapkan dapat mengenal pasti peluang untuk menjalinkan kerjasama dengan industri terlibat bagi mengaplikasikan hasil kajian berkenaan dalam perindustrian.

“Kedudukan UMP yang berada di dua kampus (iaitu) satu di Gambang (manakala) satu (lagi) di Pekan boleh dikatakan sangat strategik kerana ia berhampiran dengan kawasan perindustrian Gebeng.

“Ia merupakan kawasan yang semua (syarikat) multinasional (dari) seluruh dunia mendirikan kilang. Kalau UMP dapat bekerjasama dengan kilang tersebut dari segi bagaimana hasil kajian (ini) boleh diaplikasikan, ia akan memberi makna lebih besar kepada UMP,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Cendekia Bitara 2015 di sini, Jumaat malam.

Adnan berkata UMP telah mencapai satu tahap membanggakan terutamanya dalam bidang penyelidikan selepas 14 tahun penubuhannya di negeri ini kerana berjaya meraih anugerah cemerlang dalam setiap pertandingan dan pameran yang disertai universiti berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan UMP terus mengekalkan kecemerlangan tersebut dengan melibatkan penyertaan semua pihak universiti termasuk peringkat Lembaga Pengarah dan tenaga pengajar akademik.

Pada majlis itu, seramai 56 penyelidik dan pensyarah yang berjaya meraih kecemerlangan terbilang berpaksikan budaya penyelidikan unggul dan berkualiti tinggi diraikan untuk memberikan suntikan semangat kepada warga UMP.