Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menetapkan harga siling bagi pakej umrah adalah bermula dari RM4,900.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, penetapan harga siling tersebut adalah bagi pakej umrah dan ziarah selama 12 hari dan 10 malam.

“Sekiranya ada pakej umrah dan ziarah yang menawarkan harga di bawah RM3,000 janganlah percaya. Ia tidak cukup untuk membayar tiket penerbangan pergi balik termasuk penginapan jemaah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ( Baling-BN).

Dalam soalan tambahan Abdul Azeez berkata tindakan yang diambil di bawah Akta 482 tidak memadai kerana masih ramai ejen mengambil kesempatan, mengelirukan dan menipu orang ramai khususnya penduduk luar bandar yang kurang berkemampuan dengan cara menaikkan papan tanda iklan dan menawarkan pakej umrah murah serendah RM3,300.

Dalam pada itu, bagi memerangi aktiviti penipuan pakej umrah dan ziarah, kementerian mengambil tindakan tegas dengan membatalkan, menarik balik lesen serta menyenaraihitamkan agensi- agensi pelancongan yang didapati bersalah melakukan penipuan.

“Bermula 2009 sehingga 2017, sebanyak 14 syarikat yang mengendalikan aktiviti pelancongan dan pengendalian umrah serta ziarah telah diambil tindakan. Daripada jumlah itu, 11 syarikat dibatalkan lesennya, manakala satu syarikat ditarik balik lesen pelancongan luar negara, setelah di dapati bersalah melanggar Akta 482 yang melibatkan elemen penipuan.

“Pada tahun ini, notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada dua syarikat yang didapati bersalah melanggar Akta 482. Kedua syarikat ini dalam proses peringkat rayuan. Pihak kementerian juga sedang menyiasat beberapa lagi syarikat yang akan didakwa jika didapati salah melanggar akta sama,” katanya menjawab soalan apakah tindakan yang diambil kementerian terhadap agensi-agensi yang melakukan penipuan terhadap pakej umrah.

Tambah Mas Ermieyati, selain tindakan pembatalan lesen, kementerian tidak akan mempertimbangkan sebarang pemohonan baharu bagi agensi pelancongan dan pengembaraan oleh mana-mana individu yang telah disenaraihitamkan atas kesalahan di bawah Akta 482 termasuk agensi pelancongan pengendalian umrah dan ziarah.

“Bagi memerangi penyebaran pakej umrah palsu pula, kementerian sentiasa memantau iklan umrah dan ziarah khususnya pengiklanan media elektronik seperti dilaman web, media sosial dan blog.

“Kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Muktimedia Malaysia (SKMM) agar mereka yang dikenal pasti ini tidak menubuhkan syarikat baharu berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain serta menghalang individu atau syarikat tidak berlesen dengan kementerian  membuat pengiklanan pakej umrah dari terus beroperasi,” katanya.

Katanya, kementerian turut berkolaberasi dengan Majlis Kawal Selia Umrah yang melibatkan 13 agensi termasuk Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Luar Negara dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan turut dipertingkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dan KLIA2 bagi memastikan jemaah terlibat dengan syarikat berlesen memenuhi syarat ditetapkan kementerian dan perjalanan jemaah diuruskan dengan baik.

Tambah Mas Ermieyati setakat Mei 2017 seramai 240,000 bakal umrah telah membeli pakej umrah dan ziarah. ini menjadikan jumlah pendapatan urus niaga yang diperolehi dari umrah melebihi RM1 bilion dalam tempoh setahun.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *