MH Online

Laman Suara Rakyat

Harga Pelitup Muka Akan Diturunkan Lagi

Harga Pelitup Muka Akan Diturunkan Lagi

KUALA LUMPUR, Kerajaan bercadang untuk menurunkan lagi paras harga siling pelitup muka tiga lapisan di bawah RM1.20 seunit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata cadangan itu akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya kementerian sudah mengambil langkah menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapisan daripada RM1.50 kepada RM1.20 seunit.

“Memandangkan maklum balas daripada umum dan kita sudah melakukan perbincangan, mungkin (harga siling) diturunkan lagi di bawah RM1.20,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka) yang meminta kerajaan supaya menyeragamkan dan menurunkan lagi harga siling pelitup muka.

Bermula 1 Ogos lalu, kerajaan mewajibkan orang awam memakai pelitup muka, khususnya ketika berada di dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak sebagai langkah membendung wabak COVID-19.

Kerajaan sebelum ini memutuskan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 bermula 15 Ogos ini berbanding RM1.50 sebelum ini.

Malah, harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Menjawab soalan asal Datuk Wilson Ugak Anak (GPS-Hulu Rajang) mengenai Program Penyeragaman Harga, Alexander berkata, seramai 1.1 juta penduduk di 691 kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan, mendapat manfaat daripada program itu.

“Tahun ini, kerajaan melantik 163 syarikat bertanggungjawab membeli bekalan daripada pembekal atau punca bekalan sebelum menghantar dan menjual bekalan terbabit di kawasan pengedaran.

“Terdapat tujuh jenis bekalan barangan asas yang dihantar menerusi program ini iaitu beras, gula putih bertapis kasar, minyak masak, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), Petrol RON95 dan diesel,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program terbabit untuk tahun ini membabitkan peruntukan berjumlah RM150 juta.

“Sebanyak RM83.2 juta diperuntuk kepada Sarawak dan daripada itu, sejumlah RM19.95 juta pula bagi kawasan Parlimen Hulu Rajang,” katanya.