MH Online

Laman Suara Rakyat

Harga Getah Dan Sawit Ambil Masa Untuk Pulih

Harga Getah Dan Sawit Ambil Masa Untuk Pulih

GUA MUSANG, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menjangkakan harga sawit dan getah yang jatuh teruk sekarang mengambil masa panjang untuk dipulihkan.

Beliau berkata, ia bergantung kepada permintaan daripada pasaran dunia kerana ada sesetengah negara tidak mahu lagi mengimport sawit dari negara ini.

Berikutan itu, katanya, pekebun kecil, peneroka FELDA dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) perlu bersedia berdepan masalah pendapatan.

“Kemungkinan mereka berdepan kemiskinan hidup dan perlu ada langkah alternatif mencari sumber lain sebagai tambahan pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan Peneroka RKT KESEDAR Sungai Asap B di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof; dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Harga getah kini jatuh bawah RM2 sekilogram (kg), berbanding antara RM4 hingga RM5 setiap kg tahun lalu.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, melahirkan kebimbangan dengan tekanan hidup bagi kumpulan sasar itu yang bergantung sepenuhnya kepada komoditi itu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan, perlu mengambil langkah proaktif bagi menyelamatkan pendapatan pekebun kecil dan peneroka.

“Saya bercadang menemui pemimpin kerajaan untuk berbincang masalah dihadapi pekebun kecil dan peneroka di seluruh negara.

“Beberapa cadangan juga akan dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan supaya pendapatan kumpulan itu tidak terjejas teruk,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, sistem perladangan sekarang menggunakan kaedah lama dan mungkin boleh ditukar kepada cara baharu yang lebih menjamin pendapatan masa depan mereka.

“Keadaan permintaan dunia sudah berubah, pasaran komoditi pun ada pilihan tertentu yang mengancam kedudukan peneroka sendiri dan hasil ladang itu,” katanya.