Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Hanya Terima Satu Surat Sahaja’

‘Hanya Terima Satu Surat Sahaja’

KUALA LUMPUR, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan pihaknya sudah menjawab surat yang diserahkan Naib Presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut mengesahkan hanya satu surat diterima dan surat itu dijawab dalam tempoh tujuh hari selepas diserahkan oleh pihak terbabit.

“Saya nak sebut surat dikirim cuma satu sahaja dan surat itu sudah dijawab.

“Surat itu dihantar secara serahan tangan kepada pihak yang mengirim dalam tempoh kurang tujuh hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Jualan Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-Keep), di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Saifuddin akan menjawab dakwaan Zuraida yang beliau tidak melayan tiga surat diberikan kepadanya bagi mengatur pertemuan menyebabkan Zuraida tidak menghadiri mesyuarat parti.

Pada 20 Ogos lalu, Zuraida mendedahkan permintaan tidak ditunaikan Anwar menjadi salah satu punca mengapa beberapa pemimpin parti bertindak untuk tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Zuraida dilaporkan berkata tiga surat sudah diserahkan kepada Pejabat Presiden, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai Setiausaha Agung parti, beliau sudah mengeluarkan jadual mesyuarat Biro Politik dan MPP PKR awal Januari lalu.

“Semua yang memegang jawatan dalam parti tidak kira presiden, timbalan presiden dan naib presiden, ada yang dipilih manakala ada dilantik mengikut perlembagaan parti.

“Saya percaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti menerima semua pihak yang memegang jawatan parti dan layak hadir dalam mesyuarat Biro Politik dan MPP parti.

“Mesyuarat Biro Politik setiap Rabu jam 8.30 malam, manakala MPP setiap Ahad minggu terakhir setiap bulan,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin terbabit wajar mengosongkan jadual kerja masing-masing pada waktu mesyuarat itu.

“Sudah bagi jadual mesyuarat awal, (mereka terbabit) perlu kosongkan jadual masing-masing (pada waktu berkaitan).

“(Dalam hal ini), perlukan aspek disiplin, saling menghormati dan amanah, itu lebih penting daripada menghantar satu surat tetapi kata hantar tiga (dipercayai merujuk kepada kenyataan Zuraida sebelum ini),” katanya.

Mengenai i-Keep, Saifuddin berkata ia diilhamkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang antara lain untuk meringankan beban rakyat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Katanya, ketika ini, terdapat 368 i-Keep di seluruh negara dan KPDNHEP menyasarkan penambahan sehingga 500 i-Keep di Malaysia menjelang 2020.

Leave a Reply

Top