Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Hanya Tahu 30 Minit Sebelum Pengumuman Rasmi’

‘Hanya Tahu 30 Minit Sebelum Pengumuman Rasmi’

Oleh : Aflieza Arshad

Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohd Diah, langsung tidak ambil kisah spekulasi yang menyebut nama beliau digugurkan dari senarai calon, malah telah membuat persediaan dalam kerjaya lain sekiranya tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Namun, rezeki dan populariti yang diraih dari kalangan pengundi Parlimen Tangga Batu dikatakan antara faktor menyebabkan namanya disenerai pada saat-saat akhir bagi memantapkan  Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu bagaimanapun, diturunkan di DUN Paya Rumput menggantikan calon terdahulu, Datuk Sazali Muhd Din yang digugurkan dalam barisan calon PRU kali ini, memaklumkan beliau hanya mengetahui namanya dicalonkan beberapa minit sebelum pengumuman rasmi.

“Ya, saya hanya diberitahu setengah jam sebelum diumumkan. Saya juga terkejut kerana dari awal lagi menjangkakan saya tidak disenarai.

“Apa pun saya bersyukur kerana diberi kepercayaan bertanding walaupun terpaksa berubah angin dari Parlimen ke DUN,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan beliau sebagai calon bertanding di DUN Paya Rumput, Abu Bakar yang popular dalam kalangan pengundi dengan beberapa gelaran, seperti ‘YB panjang akal’, YB Jalan Lopak’ ‘taukeh Subaidah’, berkata, sasaran adalah untuk menang.

Katanya, faktor beliau diturunkan ke DUN bagi menguatkan lagi keyakinan pengundi di Paya Rumput yang kini menjadi sasaran utama Pakatan Harapan (PH) untuk mematahkan  strategi pihak lawan.

“Jika sebelum ini, saya sendiri tidak tahu apa nasib politik saya, tetapi apabila sudah dinamakan sebagai calon, saya akan terus bergerak serta berkempen sehabis baik menjelang tarikh PRU pada 9 Mei nanti.

“Sentimen pengundi sudah berubah berikutan kawasan Paya Rumput juga bukan lagi kawasan kampung tradisional, tetapi taman perumahan juga tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

“Ditambah pula dengan kemasukan parti pembangkang di situ, calon di DUN Paya Rumput tidak boleh ambil mudah dengan sentimen masyarakat,” kata calon BN Parlimen Tangga Batu pada PRU-13 menggantikan Datuk Seri Utama Ir. Idris Haron yang bertanding untuk kerusi DUN Sungai Udang, pada waktu itu.

Ditanya mengenai persaingan sengit berdepan pembangkang, Abu Bakar berkata, dia yakin pengundi akan memberi kemenangan kepadanya dan BN kerana mempunyai reputasi dan formula kerja tersendiri yang membolehkan beliau mengambil hati pengundi.

“Selama lima tahun di Parlimen Tangga Batu, saya berjaya membentuk sekumpulan penyokong tegar BN berikutan pendekatan yang saya gunakan, saya akan amalkan cara kerja sama untuk memenangi hati rakyat.

“Sejak hari pertama diumum sebagai wakil rakyat, saya tidak pernah berhenti bekerja, malah sentiasa membantu masyarakat setempat. Begitu jugalah azam saya kali ini. Di mana saya bertanding itu tidak menjadi hal, yang penting BN mesti menang.

“Bila nama saya dicalonkan semula, ia satu penghormatan. Namun, saya harap bukan saja dapat jadi calon, tapi untuk kekal kerusi BN.

“Jadi calon tak bererti apa-apa kalau BN kalah di kerusi lain,” kata pemegang PhD dari University of Dundee, United Kingdom ini lagi.

Leave a Reply

Top