Share on FacebookPUTRAJAYA, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mulai 1 Januari depan, majikan hanya perlu bayar RM1,635 bagi pengambilan setiap pembantu rumah warga asing secara dalam talian.

Timbalan Perdana Menteri berkata, RM1,635 adalah kos pengambilan tetapi tidak termasuk belanja penerbangan, pasport dan kos lain yang berkaitan.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut mengurangkan kadar wang cagaran daripada RM1,000 kepada RM500, serta wang proses daripada RM500 kepada RM250 sahaja.

Jumlah itu, katanya, jauh lebih rendah berbanding yang perlu ditanggung majikan sebelum ini, hingga ada yang mencecah RM18,000 seorang.

“Majikan mendapat penjimatan hingga lebih 90 peratus melalui mekanisme pengambilan terbaharu itu yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Ini bererti kerajaan mengambil langkah proaktif supaya pembayaran untuk pengambilan terus pembantu rumah asing dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mekanisme pengambilan itu dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Bajet 2018.

Pengambilan pembantu rumah hanya boleh dibuat melalui syarikat berdaftar dengan Kementerian Buruh di Filipina dan Kementerian Ketenagakerjaan di Indonesia.

“Bagi menghormati perundangan dua negara iaitu Filipina dan Indonesia, kita tidak diizinkan untuk mengambil terus pembantu rumah kecuali melalui syarikat yang berdaftar dengan kementerian tenaga kerja atau buruh di negara berkenaan.

“Kita mematuhi perundangan itu dan diharapkan majikan akan memohon melalui syarikat di negara berkenaan atau boleh mendapatkan nama atau bakal pembantu rumah untuk dikemukakan permohonannya secara dalam talian mengikut sistem yang sudah ditetapkan,” katanya.

Inisiatif baharu itu bukan sahaja memberi elemen ‘feel good’ kepada majikan, malah turut memberi jaminan hak dan perlindungan kepada pembantu rumah terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, mulai 1 Januari tahun depan juga pekerja asing perlu menjalani saringan kesihatan tambahan bagi memastikan kesahihan laporan kesihatan berkenaan.

Saringan itu akan dilaksanakan sebelum pekerja berlepas dari negara asal dan sebulan selepas tiba di Malaysia.

“Selain itu, pada akhir tahun pertama, akhir tahun kedua dan selang setiap dua tahun selagi pekerja asing terbabit bekerja di Malaysia.

“Ketika ini bilangan pekerja asing yang sah di negara ini sudah berkurangan kepada 1.785 juta hingga pada 30 November lalu berbanding 2.135 juta pada 2015,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *