Oleh : Aflieza Arshad

AYER KEROH, 29 April – Parlimen Hang Tuah Jaya menjadi medan tempur paling panas di Negeri Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membabitkan drama ulangan antara calon Parlimen Barisan Nasional (BN) P137 Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam berdepan musuh tradisi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Parlimen yang dulunya dikenali sebagai Parlimen Bukit Katil kali ini juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila calon Pas yang juga penyandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru, Dr. Md Khalid Kassim turut mengesahkan bertanding, sekaligus melengkapkan saingan tiga penjuru.

Shamsul dikatakan memasang strategi dan enggan bertembung dengan pencabarnya di Parlimen Hang Tuah Jaya sebaliknya hanya menghantar wakil sahaja ke pusat penamaan calon dengan melengkapkan borang pencalonannya ketika tempoh penyerahan borang hanya berbaki dua minit.

Sebaliknya peguam yang turut memiliki nama kedua sebagai Yusre Mohd Akin itu hadir berbaju Melayu di Pusat Penamaan Calon Parlimen Jasin di Dewan Politeknik Merlimau bagi bertanding di DUN Rim, dengan persepsi kerusi tersebut lebih selemat untuk ditandingi, berdepan penyandang Datuk Wira Ghazale Muhamad, yang juga Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri.

Shamsul apabila ditanya keputusannya bertanding di dua kerusi masih dengan nada positif dan berkeyakinan besar dapat memikat pengundi di DUN Rim dan dalam masa yang sama akan mengekalkan kemenangan di Parlimen Hang Tuah Jaya.

“Pucuk kepemimpinan sudah buat keputusan calon sebelum ini dan memberi laluan kepada saya untuk bertanding di DUN Rim.

“Saya akan buat beberapa kempen politik bertujuan memenangi kawasan ini memandangkan majoriti kemenangan BN pada PRU-13 di kawasan ini amat tipis,” katanya selepas proses penamaan calon Sabtu lalu.

Hakikanya, beliau sendiri sebenarnya amat mengetahui sejauh mana hubunga dengan pengundi dan masyarakat di Hang Tuah Jaya dalam tempoh lima tahun menjadi wakil rakyat berikutan bukan sedikit penduduk yang mendakwa beliau gagal membela nasib masyarakat di situ.

Sebaliknya tanggungjawab tersebut dipikul Mohd Ali yang terus konsisten dan turun padang menyelesaikan pelbagai masalah serta menghulur bantuan kepada rakyat dan bukan hadir ketika musim PRU sahaja.

Mohd. Ali pula menyifatkan tindakan Shamsul untuk bertanding di dua kerusi seperti menyediakan ‘back up’ di kawasan yang mungkin kalah sedangkan sepatutnya beliau perlu mempertahankan di kawasan sedia ada sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Beliau juga menyifatkan Naib Presiden PKR itu tidak mampu untuk mengurus atau memenangi hati penduduk di kedua-dua kawasan yang ditandinginya sepertimana rekod teruk yang ditinggalkan selama lima tahun sebagai wakil rakyat di kawasan terdahulu.

Boleh ke (Shamsul Iskandar) menjaga dua kawasan? (Parlimen) Hang Tuah Jaya yang satu pun tidak terjaga. Satu bini pun tak boleh jaga, tapi ada hati hendak kahwin dua,” tempelak Mohd Ali sinis.

Saya percaya beliau tidak mampu untuk berkhidmat kepada pengundi di dua kawasan ini dan untuk itu biarlah BN yang berkhidmat kepada mereka,” katanya lagi.

Dalam Parlimen Hang Tuah Jaya juga berlaku sinetron dalaman pakatan pembangkang apabila di DUN Ayer Molek apabila bekas Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hang Tuah Jaya, Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi
mengiystiharkan diri bertanding atas tiket bebas.

Kamarolzaman yang juga bekas Pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berang apabila dikhiamati sedangkan telah banyak usaha bersama jentera PPBM Hang Tuah Jaya melaksanakan pelbagai gerak kerja bagi meyakinkan pengundi DUN Ayer Molek memilih pakatan pembangkang.

Pergeseran akar umbi dalam pakatan pembangkang itu nyata mengecewakan beliau yang mendakwa telah bekerja keras di DUN berkenaan sejak awal menyertai parti itu lebih setahun lalu selepas menyangkakan kepimpinan yang disertai bersifat jujur dan amanah.

“Saya membuat keputusan itu selepas kecewa dengan janji palsu yang ditabur pucuk pimpinan yang menjanjikan saya sebagai calon di DUN berkenaan sebaliknya kepimpinan parti memutuskan untuk melepaskan DUN itu kepada PKR.

“Saya berusaha keras meyakinkan penggundi dan berpeluang untuk menang, tetapi janji itu hanya tinggal janji selepas calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) diletakkan sebagai calon di kerusi tersebut,” katanya dengan nada kecewa.

Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon P. 137 di Rumah Media Melaka, Datuk Murad Husin pada Sabtu lalu juga mengumumkan DUN Ayer Molek yang merupakan satu-satunya Dun yang berjaya ditawan oleh BN dalam Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU-13, kini mewujudkan pertembungan empat penjuru di antara Rahmad Mariman (BN), Jantan Abdullah (PAS), Farhan Ibrahim @ Alias ( PKR) dan Kamarolzaman (BEBAS).

Tindakan Kamarolzaman itu juga berdepan pemecatan ahli sepertimana dimaklumkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu perkara yang tidak dibenarkan kerana mengkhianati perjuangan parti.

“Mana-mana anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipecat daripada parti, kerana perlembagaan parti telah memperuntukkan perkara tersebut,” memetik kenyataan Muhyiddin.

Di Dun Pengkalan Batu pula, faktor ‘calon’ menjadi perkara yang mula dibincangkan apabila ramai pengundi Cina pro pembangkang mula teragak-agak untuk memangkah Pakatan Harapan berikutan DAP meletakkan calon Melayu tunggal di situ.

Sentimen ‘tak suka Melayu’ mula menguasai kelompok Cina cauvinis yang memaksa mereka menolak Norhizam Hassan Baktee yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka sebagai calon di Pengkalan Batu dan senario ini memberi kelebihan kepada BN yang menampilkan Pengerusi Gerakan Negeri Melaka, Datuk Chua Lian Chye sebagai taruhan.

Bagi DUN Ayer Keroh pula, Datuk Chua Kheng Hwa (BN) mulai menang moral tatkala wujud tolerasi persefahaman antara sekumpulan penduduk yang mengharapkan beliau dapat dapt menangani kes-kes tertunggak yang belum diselesaikan oleh wakil rakyat terdahulu, Khoo Poay Tiong yang kini berpindah ke Kota Melaka sebagai calon parlimen di situ.

Kerk Chee Yee, walaupun berjawatan penting sebagai setiausaha politik pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang, namun kredibilitinya dikatakan tenggelam dengan kewibawaan Chua yang pernah bergelar ADUN kawasan Bemban selepas menang PRU-12.

Cuma di DUN Bukit Baru sahaja kelihatan tenang walaupun bertanding tiga penjuru kerana tiada isu dan provokasi ditimbulkan bahkan Datuk Yunus Hitam (BN) Adly Zahari (PKR) dan Muhamat Puhat Bedol (PAS) secara rasionalnya, bermuzakarah secara sihat dan ini menginspirasikan pengikut masing-masing.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *