Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hamzah Tunggu Taklimat PDRM, KDN Isu LTTE

Hamzah Tunggu Taklimat PDRM, KDN Isu LTTE

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan berbincang dengan pegawai tertinggi kementerian serta polis membabitkan isu 34 tuduhan yang digugurkan terhadap 12 rakyat Malaysia yang didakwa terbabit dalam aktiviti berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil jika ia perlu.

“Keganasan bukan saja masalah dalam negara kita, ia juga masalah seluruh dunia. Ia perlu seiring dengan segala apa maklumat yang kita dapat.

“Kalau kita perlu ambil tindakan yang sewajarnya saya akan ambil tindakan tegas dan ia akan mengikut undang-undang dan perlembagaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kementeriannya akan membuka semula siasatan terhadap 12 individu terbabit termasuk dua wakil rakyat yang sebelum ini digugurkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, pada 21 Februari lalu.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang mereka hadapi.

Bagaimanapun, sehari kemudian, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya masih mengklasifikasikan LTTE sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014.

Katanya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas kerana ia masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Sementara itu, Hamzah berkata, kementerian itu juga akan memberi fokus memperkukuhkan kawalan sempadan negara selain meneruskan penubuhan satu agensi sempadan bagi memelihara kedaulatan negara daripada elemen luar.

Kedaulatan negara terdedah kepada pelbagai aktiviti rentas sempadan termasuk migrasi tanpa izin, keganasan serta jenayah.

Bagi tujuan itu, agensi yang terbabit dalam kawalan sempadan memerlukan aset lebih canggih dan berkemampuan.

“Dalam hal ini saya merasakan kalau kita menentukan dalam mencapai kejayaan, kita memerlukan aset lebih canggih untuk kementerian ini.

“Kita perlu memastikan segala tembok sempadan, kita mempunyai CCTV (kamera litar tertutup) lebih baik, dron, kapal ‘offshore patrol vessel’ (OPV), bukan orang lain yang lebih laju daripada kita nak tangkap, kita makin lama makin tertinggal jauh.

“Saya sebagai Menteri akan memperjuangkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Polis Negara dan pegawai yang ada,” katanya.

Hamzah berkata, sejak dulu lagi beliau melihat sempadan negara begitu besar kerana membabitkan kawasan yang boleh ditembusi sama ada dari laut, darat dan udara.

Justeru, katanya, kekuatan selain kekuatan aset, negara juga perlu memastikan integrasi semua rakyat dan kaum untuk memahami bahawa konsep maqasid syariah itu juga diperjuangkan.

Sementara itu, ketika bercakap dengan media, Hamzah berkata, banyak pencerobohan sempadan berlaku melalui kawasan tertentu di negara ini.

Melalui taklimat oleh KSU kementerian, Datuk Jamil Rakon, semalam beliau dimaklumkan pendekatan yang serius akan diberikan kepada agensi sempadan tunggal.

“Saya bersetuju dengan KSU dan pegawai yang beri taklimat semalam kerana disitulah tempat-tempat ‘weakest link border’ (laluan mudah diceroboh) bersama bukan saja dengan jiran kita tapi melalui laut yang ada. Maka, dalam ucapan tadi pun saya maklumkan kita perlukan jentera strategik sama ada aset di udara, laut dan darat.

“Kita perlu serius dalam isu ini sebagai contoh masalah pendatang asing kita tidak tahu dia masuk melalui mana sama ada di pintu utama atau sempadan longgar di seluruh negara kita.

“Maka, kita perlu ingat yang paling utama, yang perlu kita ambil perhatian ialah sempadan yang saya maklumkan tadi,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Muhyiddin mengumumkan cadangan penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara sudah diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

Leave a Reply

Top