Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Hamid Bador Akui Gagal Bawa Pulang Jho Low

Hamid Bador Akui Gagal Bawa Pulang Jho Low

KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, mengakui gagal menunaikan janjinya membawa pulang ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, sebelum akhir tahun lalu.

Ia susulan beberapa rintangan dilakukan pihak tertentu, walaupun pelbagai usaha sudah dibuat untuk membawa pulang Jho Low ke negara ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid menegaskan, usaha membawa pulang ahli perniagaan terbabit masih diteruskan, walaupun Jho Low dikatakan memohon suaka dari sebuah negara di Eropah.

“Usaha mengesan aset menemui beberapa kejayaan apabila kita menyita rumah bernilai jutaan ringgit, dipercayai milik Jho Low dan keluarganya yang terletak di dalam negara.

“Kita akan teruskan usaha mengesan aset ini kerana masih banyak yang berada dalam kawalan dia (Jho Low), membabitkan berbilion dolar Amerika Syarikat (AS).

“Saya tak berputus asa dan akan terus berusaha untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Jho Low dalam wawancara pertama bersama media sejak meninggalkan Malaysia pada 2015, menafikan dia adalah perancang utama skandal 1MDB seperti yang digambarkan.

Dia sebaliknya mendakwa dijadikan kambing hitam dalam skandal itu, selain menggambarkan dirinya sebagai orang tengah dan diminta ‘membantu’ Kerajaan Malaysia dan pihak di Asia Barat susulan hubungan baik dimiliki dengan ahli perniagaan asing terkenal dan beberapa pembuat dasar.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu terbabit, sama ada beliau adalah rakyat Malaysia atau sebaliknya.

Mengenai dakwaan Jho Low hanya kambing hitam dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Abdul Hamid bagaimanapun memberi jaminan bahawa ahli perniagaan itu akan diberikan jaminan keselamatan dan hak berdasarkan undang-undang, jika pulang untuk membantu siasatan kes terbabit.

“Dia rasa boleh menyorok dekat sana (lokasi persembunyian)… konon ditawarkan kewarganegaraan, saya nak sebutkan pada dia, silakan.

“Kalau kamu rasa selamat, keluarlah tetapi kenyataan dia seolah-olah tak terlibat… kalau betul baliklah. Saya secara peribadi beri jaminan keselamatan dan hak undang-undang untuk dia dapatkan pembelaan daripada peguam terbaik di dunia.

“Jangan nak perlekehkan badan kehakiman kita, (konon) polis kejamlah, nak seksa dia. Sebaliknya perlu berani untuk pulang ke Malaysia dan beri keterangan untuk bantu siasatan kes 1MDB,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hamid menegaskan, siasatan video menyerupai seorang menteri tidak ditutup, selain siasatan akan diteruskan jika menemui bukti baharu.

Leave a Reply

Top