MH Online

Laman Suara Rakyat

Hadi Terus Nafi Bayar Recastle Brown

Hadi Terus Nafi Bayar Recastle Brown

KUALA TERENGGANU, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang hari ini buat kali pertama membuka mulut menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah.

Hadi berkata, PAS atau beliau sendiri secara individu tidak pernah membuat bayaran RM1.4 juta itu seperti didedahkan peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tak bayar, PAS tak bayar. Dakwaan itu tak betul,” katanya yang mengulangi penafian parti itu sebelum ini berhubung dakwaan PAS membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown, menerusi pihak ketiga, untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkannya di London.

Hadi berkata, ‘pertuduhan’ terbaharu dihadapi parti itu berhubung pembayaran RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown hanyalah satu agenda pihak tertentu untuk menjatuhkan parti berkenaan.

Katanya, PAS hanyalah sebuah parti miskin yang menerima sumbangan daripada orang ramai dan tidak mempunyai dana untuk membayar Rewcastle-Brown seperti didakwa.

Beliau berkata, PAS hanyalah sebuah parti miskin yang menerima sumbangan daripada orang ramai dan tidak mempunyai dana untuk membayar Rewcastle-Brown seperti didakwa.

Ditanya mengenai gambar pertemuan beliau bersama ahli perniagaan, Datuk Seri Rameli Musa, pihak ketiga yang didakwa membuat pembayaran kepada Rewcastle-Brown, Hadi mengesahkan dirinya di dalam gambar itu, namun menafikan ia berkait dakwaan pembayaran itu.

Beliau berkata, pertemuan dengan Rameli berlaku di Thailand ketika berjumpa Bekas Menteri Luar Thailand, Tan Sri Surin Abdul Halim Ismail Pitsuwan dua tahun lalu untuk membincangkan masalah penindasan terhadap umat Islam di Myanmar.

“Saya rasa gambar itu masa pergi Thailand tak silap saya. Ketika saya berjumpa Surin untuk membincangkan masalah penindasan terhadap umat Islam di Myanmar. Beliau (Surin) dah meninggal pun dua tahun lalu.

“Tak timbul pun (pertemuan itu) nak tandatangan cek atau apa ketika itu,” katanya.

Gambar Hadi bersama Rameli dimuatnaik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama catatan panjang di Facebook miliknya Sabtu lalu, menggambarkan hubungan akrab Ahli Parlimen Marang itu dengan ahli perniagaan berkenaan.

Hadi juga berkata, PAS tidak berhasrat untuk membawa kes serangan terbaharu dihadapi parti itu ke mahkamah bagi membersihkan nama kerana tidak mahu membuang masa dan wang.

“Kita tak mahu habiskan masa yang banyak untuk saman, habis duit banyak. Cuma kita mengadu pada Allah.

“Malam ini kita buat solat hajat di seluruh negara. Mereka yang percaya kita tak buat benda yang difitnahkan ini, kita serahkan kepada Allah. Tindakan kita ialah jelaskan pada masyarakat apa yang sebenar,” katanya.

Beliau berkata, PAS menarik semula saman difailkan terhadap Rewcastle-Brown kerana ia adalah agenda politik dan bukan agenda perniagaan.

“Kita dah didatangi pihak tertentu untuk tarik balik kes ini sebelum pilihan raya lagi, tetapi kita tak mahulah kerana kes ini berlaku masa pilihan raya, kes ini pun kes politik.

“Dan apabila kita menang di Terengganu dan pertahan Kelantan, kita dapat perintah negeri ini dan kita juga jadi parti yang terbesar di Kedah dan Pahang.

“Jadi kita sudah berjaya daripada segi politik. Oleh sebab itu kita dah berjaya (agenda politik) dan kita tarik kes ini (saman Rewcastle-Brown),” katanya.