MH Online

Laman Suara Rakyat

Hadi Akan Bertemu Pimpinan Pas Sabah

Hadi Akan Bertemu Pimpinan Pas Sabah

MARANG, Pas akan mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan Sabah dalam masa terdekat bagi membincangkan tentang penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap daripada Pas Sabah terlebih dahulu, sebelum keputusan rasmi dibuat.

“Saya akan jumpa dengan pemimpin Sabah dalam masa terdekat, mungkin akan dibuat di Kuala Lumpur atau sini (Marang).

“Pas pernah bertanding kerusi di Sabah, kita juga ada cawangan dan pernah ada calon di sana. Kalau ikutkan rekod Pas sebelum ini, saya rasa lebih daripada 10 kerusi dan pernah sampai 20,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah secara online di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Hadi berkata, Pas mempunyai kekuatan di bahagian utara dan tengah Sabah selain pernah bertanding di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Terdahulu, Pas Sabah mengumumkan kesediaan untuk bertanding pada PRN Sabah akan datang.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan memuktamadkan kerusi-kerusi yang berpotensi selain menyerahkan kepada Pas Pusat untuk berunding dengan rakan politik lain.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai lalu bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 September depan.