MH Online

Laman Suara Rakyat

Guru Perlu Prihatin Perubahan Emosi Murid

Guru-guru terutamanya kaunselor sekolah perlu memberi lebih perhatian terhadap sebarang perubahan emosi dan tingkah laku pelajar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia penting kerana perubahan emosi murid mungkin menandakan mereka terganggu akibat masalah keluarga dan rakan-rakan di sekolah.

“Jika perubahan ini dapat dikesan dari awal mungkin mereka dapat dirawat serta mengelakkan murid ini daripada melakukan sebarang tindakan yang tidak diingini.

“Yang penting  semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Guru peringkat Klang di sini.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi semalam, seorang murid perempuan tahun enam sebuah sekolah di sini cedera di kepala dan retak tulang leher selepas terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah.

Mangsa difahamkan mengalami kemurungan akibat  tidak sefahaman dengan rakan-rakan di sekolah dan telah tiga hari tidak hadir ke sekolah.