Dengan pengalaman selama 34 tahun dalam bidang pendidikan, K.A Razhiyah telah memberikan pelbagai bentuk latihan termasuk memperkenalkan program Teratak Spa 2008 iaitu projek yang memberi peluang kepada pelajar Pendidikan Khas mengendalikan rawatan kecantikan, seperti rawatan muka, kaki dan urutan tangan.

“Menerima anugerah ini bukan bererti saya seorang yang hebat tetapi saya bernasib baik. Bagi saya, pengiktirafan adalah satu amanah dan tanggungjawab saya untuk terus mendidik pelajar istimewa.

“Saya berharap masyarakat dapat membuka mata dan melihat bahawa kanak-kanak istimewa ini mampu menguasai pelbagai kemahiran sekiranya dilatih,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Delagasi Thailand sempena Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) 2019, di SMK Panji, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Setiausaha Am Kementerian Pendidikan Thailand, Dr. Khunying Kasama Varavarn menyampaikan sijil kepada K.A Razhiyah.

Turut hadir, Konsul Jeneral Thailand, Mongkol Sinsomboon dan Pengarah Pendidikan Negeri , Fauzi Zahari.

Anugerah PMCA diberikan setiap dua tahun sekali bermula 2015 oleh Yayasan Anugerah Maha Chakri yang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan di 11 negara Asia yang menawarkan hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM41,791 (AS$10,000) serta plak PMCA.

Sejak 2015, tiga guru dari Malaysia sudah menerima anugerah berprestij ini iaitu Zainuddin Zakaria dari SMK Taman Bukit Maluri dan pada 2017 dimenangi guru dari SMK Imitaz Yayasan Terengganu, Saripah Embong.

Pada tahun ini, KA Razhiyah akan menerima anugerah tersebut di Bangkok, Thailand, pada 15 Oktober ini.

Beliau berhasrat untuk membuka pusat kecantikan orang kurang upaya (OKU) bagi memberi peluang pekerjaan kepada pelajarnya dengan menggunakan wang kemenangan tersebut.

Sementara itu, Fauzi berkata, pencapaian yang diperoleh K. A Razhiyah ini perlu dijadikan contoh kepada guru-guru lain kerana usaha yang dilakukannya dianggap luar biasa.

“Sekiranya ada guru seperti beliau, saya yakin percaya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di negeri ini akan lebih berjaya,” katanya.