Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Guru Kerugian RM25,000 Beg Tangan Dilarikan

Guru Kerugian RM25,000 Beg Tangan Dilarikan

PERMAISURI, Tindakan seorang guru meninggalkan beg tangan dalam kereta menyebabkannya kerugian dianggarkan RM25,000, apabila cermin kenderaannya dipecahkan dan beg tangan dilarikan penjenayah.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Rabu lalu, wanita itu singgah di Masjid Kampung Penarik di sini, untuk solat Asar dan meletakkan keretanya di perkarangan masjid.

Sumber berkata, sebaik selesai solat dan kembali ke keretanya, mangsa berusia 44 tahun dari Pahang terkejut mendapati cermin hadapan kereta sebelah penumpang dipecahkan.

“Mangsa kemudian memeriksa kenderaannya dan mendapati beg tangan berisi pelbagai dokumen penting dan barangan berharga dilarikan pencuri.

“Berikutan kejadian, mangsa kerugian dianggarkan RM25,000 apabila barangan kemas termasuk dua gelang emas, satu rantai emas, dua cincin emas, sepasang subang emas dan loket emas dianggar bernilai RM20,000 lesap.

“Mangsa turut kehilangan wang tunai RM2,000, selain jam tangan berjenama, telefon bimbit dan pelbagai dokumen termasuk kad pengenalan, sijil lahir anaknya dan kad pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya sambil menambah mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Penarik.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya tidak cuai dengan meninggalkan beg tangan atau barangan berharga di dalam kereta yang menyebabkan kenderaan terdedah untuk dipecahkan penjenayah.

“Kadang kala mereka ini tidak sedar tindak tanduk mereka diperhatikan penjenayah lalu merasakan selamat untuk meninggalkan beg tangan atau barangan berharga dalam kereta.

“Justeru kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan keselamatan diri dan barangan mereka.

“Jangan tinggalkan beg tangan atau barang berharga di dalam kereta walaupun di bawah tempat duduk kerana ia boleh mengundang kegiatan jenayah,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Leave a Reply

Top