Anda di sini!
Utama > Sukan > Guardiola Berdepan Situasi Sukar

Guardiola Berdepan Situasi Sukar

Pep Guardiola menutup saingan tahun ini dengan Manchester City kendaliannya ketinggalan buat kali pertama dalam perebutan gelaran sepanjang karier Liga Perdananya.

Bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu, tujuh kali menjuarai liga di tiga negara yang dikendalinya, akan bertandang ke Leicester esok dengan jurang empat mata di belakang pendahulu Liverpool.

Malah City turut dihambat Tottenham yang menang 6-2 di Everton dan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu merapatkan jurang kepada hanya dua mata di belakang pasukannya.

Ia jauh berbeza musim lalu di mana selepas 18 perlawanan, City mendahului liga dengan 18 mata ke atas pesaing terdekat Manchester United dan menjadi pilihan pemerhati untuk muncul juara musim lalu – dan menjadi kenyataan.

12 bulan sebelum itu, pada musim pertamanya dalam kancah bola sepak Inggeris, City ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Chelsea pada peringkat sama tetapi ketika musim kurang memberangsangkan di mana mereka akhirnya menamatkan saingan di tangga ketiga, 15 mata di belakang skuad juara kendalian Antonio Conte itu.

Kekalahan mengejut 3-2 di tangan Crystal Palace Sabtu lalu memberikan perspektif baharu dalam kedudukan liga menjelang tempoh percutian yang sibuk dengan pendahulu Liverpool akan bertandang ke Etihad bertemu City pada 3 Januari.

Buat pertama kali sejak kariernya bersama Barcelona, Guardiola berdepan situasi sukar dalam perebutan kejuaraan.

Bekas pengendali Liverpool Roy Hodgson yang skuad kendaliannya, Palace menjadi penyebab kepada situasi itu, bagaimanapun percaya Guardiola mampu menangani cabaran berkenaan.

“Pep Guardiola seorang yang pintar, dia belum merapatkan jurang empat mata itu tetapi dia tahu masih ada 20 perlawanan berbaki dan salah satu daripadanya adalah menentang Liverpool,” kata Hodgson.

“Saya tidak fikir dia akan risau tentang itu dan dia tahu tidak kira bagaimana prestasi Liverpool mereka akan berdepan perlawanan seperti ini. Perjalanan masih jauh.” – AFP

Leave a Reply

Top