Bakal Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sebarang ulasan rasmi membabitkan setiap urusan berkaitan kementerian berkenaan hanya akan dibuat selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dijalankan.

Guan Eng berkata, perjawatannya sebagai Menteri Kewangan masih belum disahkan selagi istiadat berkenaan belum dijalankan secara rasmi, selain menyifatkan setiap ulasan dikemukakan sepanjang tempoh terbabit sebagai pramatang.

“Beri sedikit masa sehingga perjawatan saya sebagai Menteri Kewangan disahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan tiada komen mengenai urusan kementerian sehingga saya mengangkat sumpah.

“Saya yakin semua urusan berkaitan Kementerian Kewangan akan dijalankan pasukan berkaitan kerana esok secara rasmi semua urusan berkaitan pentadbiran kerajaan akan berjalan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas urusan berkaitan jual beli saham yang akan mula diniagakan esok, pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Guan Eng turut menyatakan kesediaannya menghapuskan sistem percukaian sedia ada, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti dijanjikan Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“PH tidak akan lupa janji kita untuk memansuhkan GST. Biarkan kita menjalankan urusan menghapuskan GST ini selepas saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan nanti,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *