MH Online

Laman Suara Rakyat

Guan Eng Minta Zuraida Dedah Surat KPKT Mohon Projek Runding Terus

Guan Eng Minta Zuraida Dedah Surat KPKT Mohon Projek Runding Terus

KUALA LUMPUR, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, dicabar mendedahkan surat berkaitan satu daripada dua projek kementerian itu yang diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), supaya rakyat ‘dapat mengetahui kisah sebenar’.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mendakwa Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) bernilai RM170.3 juta itu, hakikatnya dimohon sendiri oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Ketua Setiausaha (KSU) KPKT pasti ada menghantar surat permohonan projek rundingan terus itu pada 2018, memandangkan ia membabitkan peruntukan yang besar.

“Zuraida tidak boleh nafikan bahawa ada surat permohonan KPKT sedemikian. Saya cabar beliau mendedahkannya supaya rakyat boleh mengetahui kisah sebenar.

“KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada 2018 kepada MOF tanpa pengetahuan atau restu Menterinya, iaitu Zuraida.

“Jika benar permohonan dibuat tanpa pengetahuan Zuraida, KSU boleh dikenakan tindakan disiplin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pemerintahan PH.

Antara dalam senarai itu adalah dua projek di bawah KPKT yang Zuraida juga sebagai menteri ketika itu, iaitu PSPTB bernilai RM170,294,400 dan Sistem Perisian Perakaunan Century (RM501,206.37).

Zuraida bagaimanapun menegaskan dua projek itu adalah di luar pengetahuannya dan mendakwa ia ‘dijalankan oleh Guan Eng’.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mempersoalkan sama ada Zuraida begitu jahil tentang hal ehwal kementeriannya sehingga tidak tahu KSU membuat permohonan rundingan terus kepada MOF.

“Sekiranya ini benar, maka Zuraida memang tidak layak, ‘not fit and proper’ untuk memegang jawatan menteri,” katanya, yang turut mencabar Zuraida mendedahkan surat kepada KPKT daripada MOF atau daripadanya, jika ada.

Dalam pada itu, Guan Eng menggesa Zafrul memperbetulkan fakta berkenaan 101 projek rundingan terus itu, kerana 95 peratus atau RM6.258 bilion projek itu bukan dimulakan oleh PH, sebaliknya diwarisi daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang terpaksa diteruskan.

Tegasnya, projek rundingan RT di bawah pentadbiran PH bukanlah RM6.61 bilion seperti yang digembar-gemburkan, sebaliknya hanya 5.3 peratus daripada atau RM352 juta.

“Sekiranya tidak mahu isu ini dipolitikkan, Zafrul harus mendedahkan projek rundingan terus zaman BN, dan yang penting sekali projek rundingan terus yang diluluskan beliau sendiri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Buktikan semua projek rundingan terus yang diluluskan Zafrul sendiri adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan,” katanya.