MH Online

Laman Suara Rakyat

GRS Bentuk Kerajaan Baru Sabah

GRS Bentuk Kerajaan Baru Sabah

KOTA KINABALU, Angin perubahan melanda Negeri di Bawah Bayu apabila Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS), membentuk kerajaan negeri di Sabah selepas memperoleh majoriti mudah 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, setakat jam 9.23 malam tadi.

Pengerusi BN Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, memenangi kerusi DUN Lamag yang pertama kali dipertandingkan dengan mendapat 3,035 undi.

Beliau menang dengan kelebihan 661 undi dalam persaingan lima penjuru menewaskan Ismail Ayub (WARISAN), Razman Magah (PCS), Sairin Abdul Rahman (PPRS) dan calon Bebas, Junny @ Keruak Abdullah.

Bung Moktar dalam sidang medianya di Bangunan UMNO Sabah di sini, malam tadi berkata, kemenangan itu adalah lambang kepercayaan rakyat Sabah yang ingin mengubah keadaan negeri itu.

“Tepat jam 9.23 malam ini, GRS sudah mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

“Sebagai Pengerusi BN Sabah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan rakyat Sabah yang mahu mengubah pentadbiran negeri ini.

“GRS akan berbincang bagi menentukan hala tuju seterusnya dan memastikan kerajaan baharu ini telus serta terus membela nasib rakyat,” katanya.

Ketua Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, mengekalkan kerusi DUN Sulaman yang disandang sejak 1990 selepas mendapat 5,919 undi, menewaskan anak saudaranya, Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri (WARISAN) dan Datuk Rekan Hussien (PCS) dengan majoriti 3,099 undi.

WARISAN Plus yang dibarisi oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), dilapor mendapat 20 undi.

Setakat jam 9 malam, pengiraan menunjukkan WARISAN menang di 19 kerusi, DAP yang bertanding menggunakan logo WARISAN menang enam kerusi dan PKR yang kekal dengan simbol sendiri, satu kerusi.

Seperti dijangka, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengekalkan kerusi DUN Senallang yang disandang sejak 1990, dengan mendapat 5,919 undi, menewaskan Norazman Utoh Nain (PN), Mad Jalie Lais (PCS), Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan D Pg Ahmad Datu Ali Alam (PPRS).

Keputusan mengejutkan pastinya kemenangan dua calon Bebas.

Sejumlah 1,088,711 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Sabah yang diadakan susulan pembubaran DUN pada 31 Julai lalu.