MH Online

Laman Suara Rakyat

Graduan GMI Diberi Pendedahan Industri Revolusi Keempat

Graduan German-Malaysian Institute (GMI) mampu berdepan dengan perubahan dan cabaran dalam revolusi industri keempat memandangkan mereka sudah mendapat pendedahan tentang kemahiran tersebut sepanjang tempoh pengajian, kata Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf.

Beliau berkata, sejak tahun lepas GMI telah memulakan aplikasi revolusi industri keempat dengan penubuhan ifactory Innovation Centre bagi memberikan pendedahan awal kepada para pelajarnya.

“Sistem pengajian GMI sejak awal penubuhannya sememangnya mengikut keperluan industri bagi meletakkan graduan GMI sebagai tulang belakang dan peneraju industri tinggi negara,” katanya ketika berucap pada majlis konvokesyen GMI kali ke-23 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tambah Azhar, GMI mengutamakan gabungan ketrampilan teknikal, sosial dan pembelajaran dalam pembentukan graduan yang holistik bagi menghadapi cabaran revolusi industri keempat.

Sebanyak 1,451 graduan menerima diploma masing-masing dalam bidang kejuruteraan teknologi berorientasikan Jerman pada majlis konvokesyen kali ini.