MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Gopal Pujuk Saya Tangkap Najib’

'Gopal Pujuk Saya Tangkap Najib'

KUALA LUMPUR, Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad pernah cuba memujuknya agar menangkap Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri.

Menerusi catatan laman Facebooknya semalam, Apandi mendakwa permintaan itu dibuat Dr Mahathir menerusi bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

“Pada petang Januari 2018, Sri Ram bersama seorang peguam muda berbangsa Cina datang ke rumah saya kerana mahu bercakap secara peribadi,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya perbincangan berkisar mengenai pembekuan beberapa akaun firma tersebut.

“Sri Ram meminta saya agar tidak membekukan beberapa akaun firma guaman namun saya jelaskan perkara itu sudah dijawab dalam respons permohonan representasi yang dikemukakan beliau kepada Jabatan Peguam Negara sebelum ini,” tulisnya.

Dakwa Apandi lagi, Sri Ram kemudian tiba-tiba menyatakan perkara itu sekadar alasan untuk bertemu dengannya.

“Beliau menyatakan ada agenda besar dan Dr Mahathir menghantarnya untuk menemui saya,” katanya.

Apandi berkata, Sri Ram memberitahunya bahawa Dr Mahathir mahu beliau menangkap Najib di pejabatnya jam 2 petang keesokan harinya.

“Sri Ram mengatakan segalanya telah diatur dan polis di Putrajaya akan melakukan apa yang perlu atas arahan saya (kapasiti Peguam Negara).

“Katanya lagi, hakim telah diaturkan supaya perintah tahanan reman dikeluarkan terhadap Najib,” katanya.

Apandi berkata, beliau bertanya Sri Ram atas alasan apakah tangkapan tersebut dibuat, namun bekas hakim itu sekadar menjawab, rakyat kecewa dengan Najib.

“Kata Sri Ram, tanpa alasan, penangkapan Najib membuatkan rakyat gembira.

“Beliau menggesa saya supaya segera bersetuju dengan rancangan tersebut, bagaimanapun saya meminta masa untuk memikirkannya,” katanya.

Menurut Apandi, Sri Ram boleh menafikan dakwaan beliau tersebut.

“Bagaimanapun, saya ingin mengingatkannya bahawa ketika itu saya masih Peguam Negara dan rumah saya dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) terutama di ruang tamu.

“CCTV tidak berbohong dan saya juga mempunyai saksi,” katanya.

Apandi berkhidmat sebagai Peguam Negara dari tahun 2015 hingga 2018.

Pada 4 Jun 2018, perkhidmatan Apandi ditamatkan selepas diberi cuti tanpa rekod selama 30 hari oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir yang mengambil alih pentadbiran negara.

Tempat Apandi digantikan oleh Tommy Thomas.

Pada 9 Januari 2019, Apandi yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dilantik UMNO sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu namun melepaskan jawatan tersebut pada 26 Disember 2019.

Sri Ram pula mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad yang sedang dihadapi Najib.