MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Gerak Kerja Kali Ini Agak Mencabar’

'Gerak Kerja Kali Ini Agak Mencabar'

TANJUNG MALIM, Gerak kerja jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim boleh dianggap masuk ‘gear lima’ dan keseluruhan Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah digerakkan sepenuhnya dan fasa seterusnya adalah untuk melipatgandakan lagi usaha dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Amin pada 29 Ogos nanti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gerak kerja berkenaan yang telah dijalankan bersama rakan-rakan komponen serta jentera PAS selain PPBM berjalan lancar dan tentunya gerak kerja berkenaan cukup mencabar.

‘’Gerak kerja yang dilaksanakan oleh seluruh jentera BN bersama-sama dengan jentera PAS dan juga PPBM pada PRK DUN Slim telah masuk gear yang kelima. Dan kita telah menggerakkan keseluruhan 13  PDM DUN ini…Malahan calon sendiri berdasarkan laporan telah pergi ke 64 peratus PDM-PDM

‘’Biarpun begitu saya terus meminta agar beliau mengunjungi rumah ke rumah yang sempat dikunjungi dan jangan lupa di dalam kawasan rancangan Felda, kampung tradisi, ladang-ladang dan juga kawasan perumahan serta kawasan perdagangan dan sebagainya jangan dilepaskan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian Ketika kunjungannya ke Felda Besout 2, di sini, semalam. Selain beramah mesra dengan pengundi serta jentera parti, Ahmad Zahid turut bersama penduduk setempat yang lain di Masjid Saidina Uthman pada majlis sambutan awal tahun.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya menambah seluruh kepimpinan dan jentera parti pelbagai peringkat telah memperlihatkan komitmen masing-masing dan semua jentera telah turun ke bawah dalam usaha membantu merealisasikan kemenangan kali ini terus berpihak kepada BN.

‘’Tentunya gerak kerja kali ini agak mencabar kerana  calon Bebas yang didokong oleh sebuah parti yang telah mengemukakan pendaftarannya tentunya merupakan sesuatu yang harus kita depani dengan semua kaedah untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya. Ianya agak berbeda dengan calon Bebas di Chini kerana tidak sama dengan apa yang ada sekarang,’’ ujarnya.

Calon BN Mohd Zaidi Aziz, akan ditentang dua calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang bakal diadakan pada 29 Ogos nanti. Dua calon Bebas tersebut ialah Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.